Oleh Darwis Said
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya di Pulau Pinang, Datuk Arif Shah Omar Shah, semalam menyifatkan kenyataan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, kepada akhbar di Malaysia mengenai dirinya sebagai satu pembohongan.
'Satu, dia bohong, saya akan buat saya punya PC (sidang akhbar) mungkin dua tiga hari lagi. Nombor dua, dia tak ada keikhlasan untuk berjuang.
'Kalau dia ada keikhlasan berjuang, apabila Keadilan (Parti Keadilan Rakyat) memberikan tawaran kepada saya dia orang patut datang memujuk saya mengukuhkan parti bukan menghambat saya keluar,' kata Datuk Arif Shah semasa dihubungi semalam.
Dalam satu laporan akhbar Utusan Malaysia semalam, Datuk Abdul Jalil telah menyelar sikap Datuk Arif Shah yang menjadikan beliau sebagai 'kambing hitam' untuk mendapat jawatan dalam politik.
'Sikapnya membuat ahli Umno mengatakan ada pergolakan dalaman Umno bahagian sedangkan tiada sebarang masalah berlaku, yang bermasalah sekarang adalah beliau sendiri.
Beliau gagal untuk menyesuaikan diri dengan kepimpinan Umno bahagian yang baru selepas tewas dalam perebutan pucuk tertinggi bahagian baru-baru ini,' katanya dalam laporan akhbar itu.
Mengulas, Datuk Arif Shah berkata beliau menerima kekalahannya dalam pemilihan kepimpinan Umno Permatang Pauh tetapi mempersoalkan motif Datuk Abdul Jalil yang enggan membenarkan beliau menghadiri mesyuarat parti dan mendapat akses langsung kepada pemimpin parti bagi tujuan menjalankan kewajipannya sebagai Adun Seberang Jaya.
'Tetapi, walau apa sekalipun, dalam hati kecil ini, saya hanya berharap janganlah ganggu saya. Biar saya buat kerja saya, dia buat kerja dia,' katanya.
'Saya bermain politik masyarakat, dia bermain politik perwakilan - maknanya, dia hanya menjaga ehwal beberapa pemimpin cawangan dan mereka yang boleh mengundi - dia bermain politik kecil seperti itu. Bukan saya.
Saya bermain politik masyarakat, saya harus menjaga setiap masyarakat tidak kira apa saja bangsanya - Cina, Melayu, India, yang tua dan yang muda,' jelas Datuk Arif Shah.
Datuk Abdul Jalil juga menyifatkan isu 'surat larangan' yang ditimbulkan Datuk Arif Shah, yang dikatakan beliau telah melarangnya daripada menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sebagai Adun, sebagai dakwaan palsu dan tidak benar.
'Umno bahagian hendak sangat tengok surat tu jika betul apa yang didakwa. Masalahnya dia tidak pernah tunjuk pun kepada saya,' katanya kepada Utusan Malaysia.
Menjawab, Datuk Arif Shah berkata beliau sedia menunjukkan surat asal yang ditandatangani sendiri oleh Datuk Abdul Jalil itu. Datuk Arif Shah juga sedang menimbangkan tawaran menyertai PKR.
Sementara itu Bernama melaporkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan parti itu menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai balasan jika Arif Shah menyertai Pakatan Rakyat (PR).Sambil menyambut baik jika Arif Shah bersetuju menyertai PR, Anwar berkata sebenarnya jawatan yang dikatakan ditawarkan itu sudah pun diisi."Saya rasa kita harus berlaku adil kepada Arif Shah, dia tidak menuntut sesuatu yang kita fikir tidak munasabah, tidak menyebut tentang jawatan timbalan ketua menteri dan kita pun tidak berbincang mengenainya, ini hanya desas-desus.
"Kita memang sedia menerima beliau sebagai tokoh politik dan Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya...belum ada keputusan rasmi cuma perbincangan dengan wakil parti dan saya dimaklumkan tidak ada keputusan muktamad," katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.
Sementara itu ketika ditanya berhubung isu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohamad Fairuz Khairuddin yang didakwa tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, Anwar berkata semua pemimpin dalam PKR dinilai prestasi kerja mereka."PKR sentiasa membuat penilaian prestasi pemimpin-pemimpin kita, saya ada menerima teguran, Tian Chua (Ketua Penerangan PKR) juga ada menerima teguran dan Fairuz juga terima teguran.
"Teguran telah diberi, penilaian dah dibuat, tidak benar menyatakan penilaian itu untuk Fairuz seorang kerana penilaian itu adalah untuk semua dan kita minta semua teguran dan kelemahan diperbaiki," katanya.
/ KLpos, Bernama, BHS
No comments:
Post a Comment