Friday, December 07, 2007

Diplomasi sebelum perang

Momentum rakyat terhadap kehangatan pilihanraya kini sedang melalui plot yang agak tegang sekalipun belum pada tahap klimaks.Watak watak yang mengambil bahagian dalam menjayakan jalan cerita begitu rancak beraksi.Gendang perang seakan sudah mula dipalu.Masing masing dua angkatan BN dan BA sama sama saling menunjukkan kekuatan serta persediaan ke arah puncak pertembungan dalam pilihanraya.

Dalam suasana ramai yang masih meragukan ketelusan SPR mengendalikan pilihanraya,barisan pembangkang seolah olah tiada pilihan melainkan terus berusaha mengatur strategi.Sehingga semalam barisan alternatif yang terdiri daripada parti parti politik dan badan NGO melalui Anwar Ibrahim dari parti Keadilan telah memanggil sidang media bagi menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu isu yang berkait.Usaha usaha diplomasi ini dilihat sebagai 'berhemah' dalam menangani ketegangan yang makin memuncak sejak kebelakangan ini.

Persoalannya adakah Perdana Menteri sedia untuk menerima mereka untuk berbincang..? Kewibawaan Abdullah Badawi seolah olah sedang diuji samada beliau bersedia untuk mengotakan janji untuk 'mendengar' semua masalah rakyat tanpa melihat daripada pihak mana mereka itu datang.Besarlah harapan rakyat agar Perdana Menteri benar benar ingin menghayati setiap apa jua kata kata yang pernah dilontarkannya sebelum ini.

Sejak mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara beberapa tahun yang lalu,Abdullah dilihat begitu 'lunak' dan banyak membayangkan suasana 'harmoni' dalam ucapannya membuatkan rakyat rasa terharu seakan sinar yang bakal terpancar dalam sistem pemerintahan negara esoknya.

'Islam Hadhari','Damai abadi','memerangi rasuah','bekerja bersama saya' dan berbagai bagai lagi adalah antara kata lunak yang amat menyenangkan hati semua pihak.Tetapi sejak kebelakangan ini mengapa Abdullah dilihat menjadi sedikit 'liar' melanggar semua prinsip diri yang tergambar melalui kata kata yang pernah diungkapkannya itu.

Barangkali 'hasutan' disekelilingnya begitu kuat mengasak,tidak tahu ianya berpunca daripada 'manusia' ataupun 'jin',kerana kita semua sudah maklum akan dua unsur ini yang sering mengganggu anak Adam hingga ke hari kiamat kelak.

Sayugianya Abdullah harus sering datang ke kelantan berbimbingan tangan dengan Tok Guru Nik Aziz agar hati sentiasa terasa 'dingin dan harmoni' selalu.Atau mungkin Ustaz Asri yang berada jauh di perlis, 'berbisiklah' sesuatu kepada memanda agar kebenaran terpancar dihujung usaha.

Thursday, December 06, 2007

Anwar dan Dr Asri

Dulu sebelum Anwar masuk Umno,beliau terkenal sebagai seorang aktivis gerakan islam yang bergerak di bawah nama Abim.Kehebatannya memimpin gerakan itu telah membuatkan Mahathir terpesona untuk 'menggunakannya' ke dalam Umno tujuan untuk mengimbangi pengaruh Pas dan perjuangan Islam yang semakin mendapat perhatian rakyat pada waktu itu.

Bermulalah perjuangan Anwar dalam kerajaan dengan niat untuk 'membawa perubahan dari dalam'.Sepanjang tempoh berada dalam kerajaan, banyak juga gagasan gagasan baru yang diketengahkan oleh beliau, malah berjaya membawa seberapa ramai golongan muda yang berfikiran Islam untuk turut serta bersamanya.Usahanya itu sangat berjaya hingga membawa beliau berada di kedudukan orang no 2 dalam kerajaan yang akhirnya membawa fitnah kepada dirinya sendiri dengan peristiwa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh mentornya Mahathir Muhammad pada 2 sep 1998.

Penjara sembilan tahun sudah tentu banyak membawa pengajaran buat diri beliau.Harap tempoh itu cukup untuk dirinya 'bermuhasabah' tentang liku liku perjuangan yang harus dilalui.Kini diluar kerajaan beliau kelihatan lebih berhati hati dan dilihat lebih moderat.Barangkali sesuai dengan kedudukanya yang 'terpaksa' berdiri sebagai ketua barisan pembangkang.Itu sahaja pilihan yang ada baginya setelah 'suara suara' di dalam Umno begitu kuat menolaknya untuk masuk semula selepas era Mahathir.Hingga ke waktu ini peluang dan masa depan politiknya masih belum menentu kerana masih lagi belum menjadi ahli kepada mana mana parti politik (sekalipun Keadilan)hinggalah tamat tempoh larangan berpolitik oleh mahkamah terhadapnya april 2008.Ternyata peluangnya masih samar samar.

Hari ini bayang bayang yang pernah dirintis oleh Anwar kembali ke persada ruang bicara rakyat Malaysia.Dr Asri yang dulu lebih dikenali sebagai seorang penceramah yang digemari tiba tiba dilantik menjawat jawatan mufti Perlis yang terletak di utara tanah air.Beliau juga turut dikenali sebagai 'ustaz haraki' sebelum menjadi mufti dulu.Banyak pandangan yang bernas dan berani keluar dari pemikirannya yang kadang kadang mendatangkan sedikit kontroversi.

Kini setelah menjawat jawatan mufti Perlis,ceramahnya masih terus berjalan malah kelihatan banyak pula kenyataannya yang 'menyinggung' sesetengah ustaz ustaz yang berada dalam Pas.Lalu timbul tanda tanya dikalangan mereka,adakah Dr Asri telah berjaya 'dipancing' untuk menjadi 'alat' kerajaan dalam menghadapi Pas..?

Fenomena itu masih belum ketara.Yang pasti keperibadian antara Dr Asri dan Anwar adalah berbeza dari segi ilmunya.Namun dalam kehidupan ini manusia tidak lepas daripada menghadapi ujian.Hanya keikhlasan yang boleh membawa mereka ke matlamatnya yang sebenar.Sama samalah kita ikuti episod seterusnya..

Monday, December 03, 2007

Sistem penyampaian maklumat

Di dalam kepala saya masih lagi berfikir betapa usaha kita akan menjadi sia sia andai masih tidak menguasai sistem penyampaian maklumat kepada rakyat.Walau sebesar manapun isu yang tercetus pasti akan akhirnya berjaya dimanipulasi beritanya oleh media kerajaan.Masalah utamanya ialah rakyat tidak mendapat laporan yang betul.

Saya suka menamakan usaha kita dalam menyertai pilihanraya sebagai perang terhadap 'paksi kejahatan'.Memang diakui bahawa perjuangan menegakkan kebenaran itu adalah satu tugas yang amat berat malah memerlukan perancangan yang teliti serta usaha yang gigih dan berterusan.

Cuba lihat kembali kepada perjuangan Rasulullah SAW semasa membawa risalah tauhid dulu.Baginda walaubagaimanapun hanya bergantung kepada sistem penyampaian individu untuk memastikan risalah islam itu dapat diterima oleh kaumnya.

Dalam konteks kita sekarang adakah 'sunnah' perjuangan itu telah berjaya dipraktiskan oleh semua yang mengaku diri sebagai seorang pejuang.Sebenarnya kebijaksanaan dan suasana semasa membolehkan kita semua bergerak dengan lebih pantas dan berkesan lagi andai semua syarat syarat sunnah itu diikuti dengan jayanya.

Kejayaan kita harus dikoreksi kembali sesuai dengan apa yang telah dituntut oleh sunnah.Setiap orang harus menyediakan 'Abu Bakar,Omar,Osman dan Ali' mereka sendiri.Atau sekurang kurangnya mereka mengaplikasi sistem perniagaan MLM yang begitu popular dewasa ini dengan setiap seorang hanya perlu membawa 2 orang dibawahnya.Bayangkan dalam waktu yang singkat kita akan berjaya membina rangkaian yang ampuh lagi kukuh kedudukannya.

Fikir fikirkan dan bersedialah untuk satu evolusi yang baru ini..!

Thursday, November 29, 2007

Raja Nazrin dan persekitaran

Sejak kebelakangan ini kerap juga ucapan Tengku Mahkota Perak itu tersiar dalam media.Barang kali reputasi dirinya yang agak baik serta kedudukan yang sudah tentu boleh menarik minat ramai untuk mengikutinya.

Terbaru beliau ada menyebut tentang modal insan dan persekitaran.Satu topik yang amat menarik di hati saya,bezanya saya bukanlah 'seseorang' yang boleh menarik minat ramai untuk memperkatakan tentangnya.Cukup sebagai mengulas dan menyokong.

Sebagaimana 'Modal insan' yang selalu menjadi sebutan Perdana Menteri,kini 'persekitaran' akan menjadi satu lagi isu yang menarik untuk diperkatakan oleh semua orang.Keduanya telah ditonjolkan oleh dua tokoh yang besar dalam negara.Yang mana kedua isu itu juga telah mengambarkan kepada rakyat tentang kesedaran politik yang harus diambil kira dengan sebaik mungkin.

Yang jelas di sini,'persekitaran yang telah disebutkan oleh Raja Nazrin itu adalah berperanan sebagai 'sedikit pembetulan' kepada isu yang terdahulu pernah disebutkan oleh Perdana Menteri Adullah Badawi.

Secara umumnya kita bersetuju dengan program 'modal insan' tetapi haruslah selari dengan 'persekitaran' yang lebih sihat.Tanpanya ia tidak membawa apa apa makna.

Sudut pembacaan media

Saya bukanlah wakil dari badan tertentu yang sebagaimana biasa kita dengar mereka melakukan kaji selidik tentang sesuatu isu.Contohnya tentang kedudukan ekonomi,kecenderungan mengundi dan sebagainya.Tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia yang terdidik saya terdorong juga untuk bertanya bagaimana reaksi rakyat Malaysia umumnya tentang laporang media yang terpapar saban hari dan waktu.Adakah mereka itu benar benar mampu 'menilai' atau menerima sebulatnya berita yang diterima..?

Adakah mereka itu benar benar memahami fakta tetapi hanya mengambil pendirian 'tidak peduli' dengan sesuatu isu.Atau mereka adalah dari golongan pemimpin parti tertentu lalu berpendirian memusingkan fakta untuk kepentingan politik mereka.

Sebenarnya disinilah keperluannya sesi penerangan atau 'brainwash' terhadap masyarakat.Mereka harus mendapat penerangan dan maklumat yang sebenar tentang sesuatu isu sebelum ia dimanipulasi oleh pemikiran yang bertentangan.

Dalam keadaan yang sebegini,adakah usaha kita telah memadai..?

Sunday, November 25, 2007

Kekalutan kerajaan Abdullah menghadapi rakyat

Belumpun reda dengan isu himpunan 100,000 rakyat mengadap Agong 10 nov lalu,kini kerajaan Abdullah kalut lagi untuk berhadapan pula dengan isu majority rakyat india yang menuntuk hak mereka untuk diberikan perhatian yang lebih serius.

Kali ini isunya lebih parah kerana mereka tidak lagi hanya sekadar berpuas hati mengadap Agung tetapi melangkaui sempadan yang lebih luas dengan menghantar memorandom terhadap Ratu England melalui kedutaan mereka di jalan Ampang hari ini ahad 25 nov 2007.

Seperti biasa kerajaan Abdullah akan merasa kalut dengan suasana perhimpunan yang akan diadakan dengan kehadiran berpuluh puluh ribu manusia itu.Malah kali ini mereka telah mula bersusah payah mengekang kehadiran rakyat dengan mengadakan beberapa sekatan jalan raya di tempat tempat tertentu menghala ke ibu negara.Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan ialah menakutkan rakyat agar tidak menghadirkan diri ke perhimpunan tersebut.Bukan itu saja,mereka juga berusaha memberi amaran kepada rakyat melalui berita tv dan akhbar serta menampal pengumuman di tempat awam tentang haramnya perhimpunan yang bakal diadakan itu.Sehubungan dengan itu juga tiga orang peguam yang berperanan sebagai penganjur kepada perhimpunan itu telah ditangkap atas dakwaan 'menghasut'.

Yang paling jelas dari cetusan bantahan rakyat kali ini adalah berhubung isu perobohan kuil oleh anggota PBT selangor di Klang baru baru ini.Ianya berkait rapat dengan kaum india yang merasa hak mereka telah dicerobohi.Maka tidak hairanlah kerajaan Abdullah cuba untuk memainkan isu ke adalam pemikiran rakyat betapa perhimpunan tersebut adalah bersifat 'perkauman'.

Persoalannya,kenapa kerajaan Abdullah masih merasakan bahawa rakyat Malaysia yang telah merdeka selama 50 tahun itu 'bodoh dan tidak tahu berfikir seperti mereka'.Hakikatnya rakyat Malaysia tidak lagi bodoh dan tidak rela diperdodohkan.

Sunday, November 18, 2007

Selain isu pilihanraya

Dalam semua kita ghairah untuk berbicara tentang pilihanraya dan segala macam kepincangan dan ketidakadilan di dalamnya,seharusnya kita tidak lupa kepada isu isu yang lain.Sudah tentu semua juga sedia maklum betapa pentingnya program program susulan untuk rakyat agar mereka ini terdidik dengan permasalahan hidup sebenar.

Memang kita sudah berbangga dengan gerakan memahamkan rakyat tentang isu isu pilihanraya yang camping melalui gabungan BERSIH yang terdiri daripada badan badan ngo dan parti politik.Dari sudut yang lain pemimpin pemimpin ini haruslah juga memikirkan bagaimana cara untuk membentuk persekitaran yang tidak hanya berkisar dalam sesuatu kelompok sahaja.

Sebagai contoh untuk kita berikan penilaian ialah Kelantan,yang mana satu satunya negeri yang masih berada dalam jajahan PAS memerintah dan menguruskan kerajaan dari segala sudut.Tempoh 16 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat jika ingin diberikan penilaian.Pemikiran rakyat seharusnya telahpun tercerna sekalipun pada tahap yang paling minima.Satu pertanyaan telah terlontar di fikiran saya: Bagaimana keadaannya persekitaran di sana..?Apakah PAS telah mengambil peluang selama 16 tahun mendidik masyarakat kelantan secara umumnya kearah yang lebih baik..?

Barangkali ada yang akan memberikan jawapan sinis,'pergilah tengok sendiri di kelantan'.Sebenarnya orang orang PAS memang sudah sebati dengan jawapan yang beremosi begitu selain dua tiga kerat antara aktivisnya yang agak bersifat profesional.Malah sifat emosional itu adalah antara isu isu yang harus ditekankan oleh pemimpin bagaimana cara untuk mengatasinya supaya PAS itu akan dilihat lebih rasional dan profesional sekaligus menjadikan mereka disegani oleh rakan dan lawan.

Wednesday, November 14, 2007

10 nov dan perang psikologi

Akhirnya perasaan gementar saya untuk hadir lagi dalam perhimpunan seperti yang pernah diadakan pada tahun 1998 terjawab juga.Saya juga berjaya meredah hujan serta perjalanan yang agak jauh ke istana negara.Saya juga bertuah kerana pada hari itu sebenarnya telah terperangkap dalam tarikan tangan seorang sahabat yang sudah lama tidak berjumpa.Kalau nak ikut semangat tentu dia lebih kuat kerana datang dari jauh beratus kilometer di utara tanahair.Hari itu kami berdua berganding semangat untuk turut serta bersama yang lain ke istana negara.

Ahamdulillah saya tidak terperangkap dalam semburan air kimia dan gas pemedih mata,cuma terkena tempiasnya sahaja.Gagal mara melalui dataran merdeka saya menyelinap perlahan lahan melalui jalan lain hingga ke istana negara.Perasaan bangga membuak juga apabila melihat himpunan manusia yang disasarkan 100,000 itu.Dalam hati ada rasa kepuasam kerana hadir pada hari itu.Tahniah kepada mereka yang berusaha menjayakan perhimpunan itu.

Seminggu setelah tarikh itu datang pula persoalan dalam diri saya tentang tindakbalas atau susulan dari peristiwa itu apakah impaknya kepada rakyat Malaysia yg merdeka.

Saya melihat dan ingin memberikan reaksi tentang dua suasana yang berbeza datang dari dua sudut yang juga turut berbeza.Yang nampak nyata tentulah laporan dari media media utama negara.Ternyata mereka cuba memberikan gambaran yang tidak elok tentang suasana dan kesan sampingan daripada peristiwa 10 nov itu.Tidak kurang juga ugutan yang masih belum henti2 dari pihak polis khususnya ketua polis negara yang mengancam untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan tersebut.Manakala pemimpin politik dari pihak umno khususnya bermati matian menafikan kejayaan perhimpuan tersebut dengan hanya menyebut kehadiran yang tidak ramai dalam perhimpuan itu.Bukan sekadar itu,terdapat banyak lagi laporan yang berbentuk negatif yang peliknya hanya datang dari seorang dua juak2 umno yang tampil bersuara.

Sudah tentu bagi pihak penganjur pula cuba untuk menjawab dan memberikan penjelasan yang berterusan kepada rakyat tentang apa yang terpapar di ruangan media betapa semua itu adalah sekadar perang psikologi dari pihak pemerintah sahaja.Sejauh mana rakyat akan dibawa dalam momentum yang baru tercetus ini sama samalah kita nantikan.

Persoalannya apakah pemakaian baju warna kuning pada setiap sabtu itu akan berjaya menampilkan sesuatu yang lain berbanding 10 nov..?

Thursday, November 01, 2007

1 November 2007

Ianya adalah satu tarikh yang amat bermakna buat diri saya kerana baru dikurniakan seorang cahaya mata yang comel bernama 'Rindu Insyirah'.Sudah tentu namanya pun begitu unik dan tersendiri.Ianya membawa seribu satu makna yang dalam lagi berbentuk perjuangan.Menzahirkan sebuah harapan terhadap sisa sisa perjuangan dalam mengharungi kehidupan ini.

Tanpa mengira dari sudut mana ianya akan berperanan,segalanya terserah dalam ketentuan yang Maha Esa.Kerana perjalanannya telah ditentukan dari asal azali lagi.Cuma kita sebagai manusia sentiasa berusaha kearah yang diredhai olehNya amin...

Rindu Insyirah...lahirnya dalam suasana dunia yang penuh pancaroba,penuh dugaan dan berbagai rintangan andai diukur dari kaca mata seorang hamba yang ingin mengabdikan diri.Sudah tentu saya sebagai bapa yang akan berperanan sebaik mungkin untuk memberikan pendidikan dan tunjuk ajar bagaimana kehidupan ini harus dilalui.Amat mencabar dan debarannya pasti akan semakin ketara dalam setiap saat waktu yang berlalu dan mendatang.
Ramai yang sudah merungut tentang betapa tidak mudah untuk mendidik anak anak.Permasalahannya,saya sendiri sudah sedia maklum sebagaimana yang lain..Persekitaran yang kuarang sihat..

Wednesday, October 31, 2007

Miharja dan persekitaran

Sudah lama tidak menulis,malah itu adalah resam biasa kepada diri saya yang disiplin penulisannya amat rendah berbanding keinginan yang begitu menggunung tinggi.Andai saya diletakkan di neraca penilaian, nescaya begitu ramai yang akan mengkritik penampilan saya yang begitu.Jadi saya sekali lagi terselamat kerana tidak begitu bersikap mengkritik malah belum juga menjadi ahli politik yang sentiasa mendapat perhatian ramai.

Apapun kali ini saya cuma ingin berbicara tentang persekitaran baru saya yang diberi nama Miharja.Dari segi bahasanya saya tidaklah begitu memahaminya kerana ia bukanlah dari prosa kata bahasa ibunda,barangkali ia berasal dari bahasa india atau apa saje.Kedudukan geografinya andai dikira melalui perjalanan rel LRT,ianya lebih dekat kepada pusat bandar berbanding sebelum ini Pandan Indah.Namun sekalipun ia dinamakan Miharja,akan tetapi andai ingin sampai ke tempat saya melalui khidmat LRT anda haruslah turun di stesen Maluri.Begitulah seadanya.

Persekitaran yang baru ini adalah dalam jajahan Cheras Kuala Lumpur.Persekitaran yang mengikut penilaian peribadi saya adalah agak kotor sedikit dengan suasana rumah kedai yang tidak begitu terurus.Restoran dan gerai makan yang bersepah sepah di sana sini ditambah pula sampah sarap yang tidak diselenggara dengan baik oleh pihak2 yang berkenaan.Itulah Kuala Lumpur,wajahnya bukanlah semua indah sebagaimana yang boleh dilihat di sekitar Klcc dan seumpanya.

Dari segi luarannya memang begitu.Jadi bagaimana pula dengan keadaan sosialnya,penduduknya yang terdiri daripada berbagai ragam manusia bangsa dan budaya hidup.India dengan hindunya,cina dengan budhanya manakala melayu pula dengan islamnya.Islamkah mereka..?atau bagaimana penghayatan mereka...

Monday, July 30, 2007

Mengapa rasa terancam

Dasarnya saya tidak perlu untuk turut terheret dalam kemelut antara blogger dan kerajaan yang memerintah negara.Kerana barangkali saya tidaklah begitu mengambil peranan sebagaimana mereka yang dilihat agak mengancam kedudukan kerajaan yang memerintah.Sebagai prinsip,saya hanya akan terlibat secara langsung dengan isu yang membabitkan masyarakat.Peranan saya mungkin boleh disifatkan sebagai terlalu minima jika diukur dari konteks masyarakat malaysia yang luas.Namun secara sedarnya saya pasti akan tidak hanya berpuashati setakat itu sahaja.Suatu hari ianya akan melebar meliputi semua isu dalam negara bermula daripada individu,keluarga,masyarakat dan siapa sahaja yang mengambil bahagian dalam kehidupan.

Dalam seminggu ini massa begitu kecoh dengan berita tentang seorang pengendali blog yang telah dipanggil oleh polis untuk diambil keterangan tentang laporan polis yang dibuat mengenai tulisan yang didakwa 'menghina raja dan islam.'Saya tak sempat pula membaca tulisan yang disifatkan menghina itu.Tetapi secara umum saya tertarik juga dengan berita dan isu yang ditampilkan dalam web Malaysia-today itu.Banyak maklumat2 yang boleh dijadikan bahan kajian juga untuk difikirkan kembali akan kebenarannya.Sekalipun media arus perdana sering kali melabelkan laporan melalui blog dan web banyak berbentuk fitnah dan penipuan,kadang2 terfikir juga adakah semua yang dilaporkan itu adalah tidak benar belaka.Kemusykilan sering juga terpacul dalam benak,mengapa begitu banyak laporan yang didedahkan dalam blog jarang terdapat dalam media arus perdana.

Tanda tanya begitu sering kali menghambat fikiran untuk mengetahui apa yang sebenarnya di sebalik semua percanggahan itu.Sudah tentu saya sebagai pengamal prinsip yang adil akan mencari2 sesuatu yang benar sebagai laporan.Menerima satu2 laporan sahaja sebagai bahan rujukan sudah menjadi satu perkara yang tidak relevan lagi dewasa ini kerana seribu satu kemungkinan boleh diandaikan dalam dunia yang serba mencabar hari ini.

Apabila saya bercadang untuk menulis,sudah pasti akan terbayang dalam fikiran tentang berbagai2 isu dalam masyarakat.Saya selalu akan memastikan isu yang bagaimana yang harus didahulukan dalam penulisan tanpa menafikan bahawa isu2 politik sering menjadi perkara yang ingin diutarakan,tetapi dalam mengambil kedudukan yang lebih mendatar saya terpaksa melewatkan perkara2 yang berkaitan dengan itu.

Untuk dilihat tidak terlalu melampau saya harus tampil dengan nada yang mendatar tetapi tetap membawa mesej kebenaran insyallah.

Saturday, March 31, 2007

Maulidur Rasul

Hari ini adalah hari bersejarah dalam kalendar islam,ianya disambut oleh berbagai pihak dalam negara serta diadakan berbagai majlis untuk memperingati perjuangan Rasulullah saw memabawa obor islam ke alam maya ciptaan ALLAH ini.

Merenung ke dalam diri,saya merasa agak sedih juga kerana sudah hampir terlupa akan tarikh yang begitu besar itu dalam perjalanan hidup seharian.Samada saya memang tidak begitu mempedulikan tarikh itu, atau suasana sekeliling yang tidak begitu mengamit perasaan untuk saya hadir sama mengimarahkan suasana, tidak kiralah dengan apa cara dan aktiviti sekalipun.Untuk saya, kehadiran tarikh itu agak begitu lesu dan hambar belaka.

Itulah hakikatnya,ia seolah olah makin jauh dari keriuhan suasana dan rutin harian masyarakat kita malaysia hari ini.Atau ianya bagaikan belum pernah meriah di kalangan masyarakat muslim andai dibandingkan dengan sambutan hari krismas saban tahun.Kemeriahannya begitu terasa sekali sekalipun kita tidaklah meletakkannya sebagai satu tarikh yang bermakna dalam diari hidup hari hari.

Persoalannya mengapa begitu..?

Thursday, March 29, 2007

Fokus Wanita

Teringat antara pesan terakhir Rasulullah (S.A.W) tentang wanita, agar kita semua memelihara dan melayan mereka dengan cara yang amat berhemah sekali.Lalu ia digambarkan sebagai, "keras ia patah dan andai dibiarkan nescaya ia akan terus bengkok seperti adanya".Memahami akan pesan tersebut sudah tentu telah tergambar dalam pemikiran kita betapa wanita itu adalah sesuatu yang agak sensitif untuk ditangani.

Usia perkahwinan saya bolehlah dikatakan masih baru,dalam debar melayari bahtera rumahtangga,saya telah disedarkan oleh dua kes terdekat tentang perceraian. Dua orang sahabat terdekat telah melalui proses perceraian bersama isteri masing masing.Sudah tentu mereka telah menceritakan kepada saya tentang masalah rumahtangga
yang telah mereka lalui.Masing masing lelaki yang sudah tentu memilih untuk meletakkan kesalahan diatas bahu wanita.Mesej yang sampai ke dalam pemikiran saya ialah, wanita tidak bersedia untuk menjadi isteri yang baik kepada suami mereka.

Persoalannya, benarkah begitu..?Malangnya saya tidak pula berpeluang mendengar apa pula permasalahan yang mungkin dikemukan oleh pihak perempuan terhadap suami mereka itu.Sekadar merujuk kepada cerita di pihak lelaki serta pengalaman peribadi saya yang masih sedikit tentang alam perkahwinan,barangkali saya boleh juga mengiakan dakwaan mereka itu.Untuk bersikap lebih adil,saya tidak perlu merujuk kepada permasalahan yang pernah mereka lalui,bahkan sudah cukup menilai kepada alam rumahtangga sendiri yang dirasakan masih di dalam debar itu.Untungnya,usia perkahwinan ini masih terlalu muda dan barangkali boleh juga saya sifatkan sebagai 'personaliti yang berbeza'.Watak utamanya ialah saya..

Tanpa menafikan betapa setiap perkahwinan itu mempunyai masalah tertentu,saya merasakan itu semua terserah kepada individu yang mengendalikan sesuatu kes tersebut.Sudah tentu kedua dua pihak lelaki dan perempuan akan dituntut untuk tampil lebih matang dan bersedia dengan segala kerenah yang akan datang dalam alam rumahtangga mereka.Perempuan contohnya,haruslah lebih bersedia dalam mengendalikan emosi mereka apabila berhadapan dengan suami,merendahkan ego dan rasa hormat yang menggunung kepada suami yang sudah tentu berperanan sebagai ketua keluarga.Manakala suami pula haruslah lebih bersikap 'lebih gentle' dalam menangani pelbagai karenah isteri yang baru berada di bawah tanggungannya.Tanpa keseimbangan itu semua,ternyata rumahtangga akan menghadapi masalah yang lebih besar dalam tempohnya yang mendatang.

Sebagai rumusan,faktor agama selalu menjadi kayu ukur utama dalam menentukan keseimbangan itu terlaksana.Ilmu yang dicanai dari disiplin yang pelbagai boleh juga membantu seseorang untuk bertindak sebagai seseorang yang lebih matang dalam segenap sudut khususnya alam perkahwinan itu.Topik ini masih terlalu datar untuk mengupas semua isu dalam permasalahan rumahtangga tetapi saya hanya sekadar boleh berpesan kepada semua agar teruskanlah 'belajar dan belajar'...

Thursday, February 15, 2007

Orang politik

Kadang kadang ada juga terdetik dalam pemikiran saya untuk menjadi orang politik.Dengan itu saya pasti akan lebih mudah untuk melontarkan gagasan pemikiran yang selama ini dipendamkan.Namun begitu,sering juga terpacul dalam perkiraan saya betapa untuk menjadi orang politik itu bukanlah satu kerja yang mudah.Ianya harus bermula dengan bukan saje azam yang kuat malah ekonomi diri juga haruslah berada pada kedudukan yang mantap lagi kukuh.Tanpa keduanya perjalanan itu pasti tidak akan membawa saya walau kemana pun.Apakah saya sudah bersedia?

Apa yang menjadi persoalannya lagi ialah,apakah kedudukan politik itu nanti akan benar benar mampu membantu saya dalam melaksanakan cita cita tersebut.Sebagai mengambil contoh yang terdekat,saya boleh juga melihat kepada tokoh politik yang sedang mengepalai negara sekarang perdana menteri Datuk Seri Abdullah Badawi.Cabarannya dalam mengemudikan bahtera merdeka ini tentu amat mencabar sekali.Beliau sudah tentu harus menyelesaikan segala isu dari pelbagai sudut yang agak kompleks.

Pendirian saya tentang beliau ialah,tidak mengambil jalan kritis sebagai bahan yang ingin dipaparkan kepada masyarakat umum.Sekalipun ada juga satu dua perkara yang ingin saya kritik tentangnya,tetapi permasalahan adalah lebih besar dari sekadar mengkritik pemerintahan yang sedang beliau corakkan.

Segalanya adalah tidak mudah untuk beliau uruskan sendiri.Dari segi kesedarannya barangkali ada,tetapi bagaimana segala niat murni itu mahu dilaksanakan akan menjadi masalah kepada seseorang yang sedang memimpin masyarakat yang berbilang kaum dan berbagai ragam ini.Segalanya harus diambil kira.

Adapun sikap sesetengah pihak yang lebih cenderung untuk mengambil jalan kritik adalah mencurigakan.Walau memang diakui sudah semestinya begitu dalam sesebuah tamadun manusia,ada yang mengkritik dan dikritik.Sebagai seorang pemimpin,Pak Lah tidak dapat lari dari gejala kritik itu.Namun dari sudut pemikiran seorang ilmuan,ia tidak harus begitu.Malah pendekatan haruslah diambil dari sudut memperbaiki kelemahan dengan menegur pemimpin melalui saluran yang lebih berhemah.

Tidak ada lagi yang sukar pada hari ini kerana Perdana Menteri sendiri pernah beberapa kali mengesyorkan agar beliau ditegur dengan cara baik,tetapi mengapa peluang yang sebegini sering diabaikan oleh mereka yang suka mengkritik.Keikhlasan mereka boleh juga diragui.

Rentak berfikir

Ada kalanya amat susah untuk seseorang yang tidak berpentas seperti saya ini menentukan hala tuju sebenar dalam menentukan gaya dan rentak berfikir.Sekali sekala pemikiran akan berubah mengikut tempo pembacaan atau paparan media semasa.Pada ketika yang lain pula ia akan berubah mengikut pendapat dan hujah dari orang orang sekeliling.

Andai dilihat dari luar sudut,pasti orang lain akan menilai betapa saya adalah seseorang yang tidak konsisten dalam menentukan gaya dan corak berfikir.Atau dengan lain perkataan boleh lah diumpamakan 'seperti lalang' yang mudah dilentur mengikut angin yang datang dari arah yang berbeza.Mujur saya belum lagi menjadi seseorang yang sering menjadi perhatian ramai seperti ahli politik atau tokoh masyarakat yang disegani ramai.

Apapun keadaannya, saya masih lagi mampu untuk memaafkan diri kerana sering meletakkan diri dalam peringkat pengisian dan pembangunan minda serta jati diri.Saya memang belum menjadi apa apa selain seorang manusia yang sedang berkial kial mencari arah dan hala tuju dalam kehidupan.Namun begitu, saya sudah melihat rangka kepada pemikiran yang bakal saya bawa itu pada peringkat permulaanya barangkali.

Berbanding orang lain,perkembangan minda saya memang diakui lambat untuk berkembang.Apatah lagi bila dilihat kepada bilangan umur yang sudah semakin meningkat.Manakala taraf kehidupan sudah pun berubah.Sepatutnya saya sudah menjadi manusia yang sangat matang dalam membawa aspirasi diri ke dalam masyarakat sekeliling.

Sekalipun saya sering meletakkan diri sebaris dengan tokoh ilmuan yang lain tetapi usaha dan gerakkerja saya jauh lebih mundur berbanding mereka dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat.Bukannya tidak ada,tetapi usaha itu terlalu kecil berbanding apa yang sepatutnya saya boleh sumbangkan kepada mereka.Sebagai contoh terdekat ialah, dalam kerja kerja penulisan ini yang sering saje tergendala dan tidak berjalan dengan lancarnya mengikut jadual serta masa yang telah berlalu.

Mungkin saya melihat kerja kerja yang sebegini kurang mendatangkan hasil dan impak kepada masyarakat kerana telah tersimpul dalam pemikiran mengatakan bahawa tidak ramai yang mampu untuk sampai ke capaian blog ini,jadi saya merasa usaha itu seakan kurang berbaloi berbanding ruang lain yang lebih berkesan.

Persoalannya ialah dimanakah ruang yang dikatakan lebih baik itu?

Thursday, January 18, 2007

Fasa baru dan modal insan

Fasa baru bukanlah hadir setelah datangnya tahun baru 2007,mungkin itu secara kebetulan sahaja.Ia memang menggambarkan sebuah era baru dalam kehidupan seorang insan.Sebagaimana manusia biasa kita semua masing masing akan mempunyai azam dan motivasi diri yang tersendiri sesuai dengan kecenderungan dan matlamat dalam kehidupan.Sekalipun azam dan motivasi itu tidak mungkin akan terlaksana secara 100%,setiap kita pasti akan cuba melaksanakan apa yang telah dirancang seadanya.

Untuk permulaan,sesuatu itu pasti akan menghadapi sedikit kesulitan.Cuba mencari cari ruang dan rentak yang bagaimana,dalam masa yang sama masih juga menambahbaik penampilan dan kekuatan diri agar benar benar bersedia untuk mengharungi cabaran.

Cabaran pasti hadir di hadapan.Sudah tentu bukan satu,malah dua tiga dan empat.Di kiri dan kanan,hadapan dan juga belakang,bahkan dari dalam diri sendiri juga ia akan datang menggugat ketahanan dalam misi melaksanakan semua tuntutan yang ada.

Dalam kedudukan yang sebegitu,kita harus mengambil langkah yang positif,menyesuaikan diri dengan suasana semasa yang kelihatan agak lembut berbanding sebelumnya.Sebagai contoh, kita ambil sahaja selogan 'modal insan' yang sering diwar warkan oleh Perdana Menteri Malaysia Abdullah A. Badawi.

Secara kebetulan lagi,ianya adalah selogan yang juga kita war warkan di sini.Ianya tidak terlalu asing untuk kita bertindak dan menjalinkan kerjasama bersama Perdana Menteri dalam melahirkan sebuah masyarakat yang celik ilmu serta tahu menilai kehidupan yang benar benar berkualiti.Itu semua diyakinkan lagi dengan saranan dan jemputan yang telah dan pernah disebut oleh beliau sebelum ini,"Bekerjalah bersama saya".