Thursday, March 29, 2007

Fokus Wanita

Teringat antara pesan terakhir Rasulullah (S.A.W) tentang wanita, agar kita semua memelihara dan melayan mereka dengan cara yang amat berhemah sekali.Lalu ia digambarkan sebagai, "keras ia patah dan andai dibiarkan nescaya ia akan terus bengkok seperti adanya".Memahami akan pesan tersebut sudah tentu telah tergambar dalam pemikiran kita betapa wanita itu adalah sesuatu yang agak sensitif untuk ditangani.

Usia perkahwinan saya bolehlah dikatakan masih baru,dalam debar melayari bahtera rumahtangga,saya telah disedarkan oleh dua kes terdekat tentang perceraian. Dua orang sahabat terdekat telah melalui proses perceraian bersama isteri masing masing.Sudah tentu mereka telah menceritakan kepada saya tentang masalah rumahtangga
yang telah mereka lalui.Masing masing lelaki yang sudah tentu memilih untuk meletakkan kesalahan diatas bahu wanita.Mesej yang sampai ke dalam pemikiran saya ialah, wanita tidak bersedia untuk menjadi isteri yang baik kepada suami mereka.

Persoalannya, benarkah begitu..?Malangnya saya tidak pula berpeluang mendengar apa pula permasalahan yang mungkin dikemukan oleh pihak perempuan terhadap suami mereka itu.Sekadar merujuk kepada cerita di pihak lelaki serta pengalaman peribadi saya yang masih sedikit tentang alam perkahwinan,barangkali saya boleh juga mengiakan dakwaan mereka itu.Untuk bersikap lebih adil,saya tidak perlu merujuk kepada permasalahan yang pernah mereka lalui,bahkan sudah cukup menilai kepada alam rumahtangga sendiri yang dirasakan masih di dalam debar itu.Untungnya,usia perkahwinan ini masih terlalu muda dan barangkali boleh juga saya sifatkan sebagai 'personaliti yang berbeza'.Watak utamanya ialah saya..

Tanpa menafikan betapa setiap perkahwinan itu mempunyai masalah tertentu,saya merasakan itu semua terserah kepada individu yang mengendalikan sesuatu kes tersebut.Sudah tentu kedua dua pihak lelaki dan perempuan akan dituntut untuk tampil lebih matang dan bersedia dengan segala kerenah yang akan datang dalam alam rumahtangga mereka.Perempuan contohnya,haruslah lebih bersedia dalam mengendalikan emosi mereka apabila berhadapan dengan suami,merendahkan ego dan rasa hormat yang menggunung kepada suami yang sudah tentu berperanan sebagai ketua keluarga.Manakala suami pula haruslah lebih bersikap 'lebih gentle' dalam menangani pelbagai karenah isteri yang baru berada di bawah tanggungannya.Tanpa keseimbangan itu semua,ternyata rumahtangga akan menghadapi masalah yang lebih besar dalam tempohnya yang mendatang.

Sebagai rumusan,faktor agama selalu menjadi kayu ukur utama dalam menentukan keseimbangan itu terlaksana.Ilmu yang dicanai dari disiplin yang pelbagai boleh juga membantu seseorang untuk bertindak sebagai seseorang yang lebih matang dalam segenap sudut khususnya alam perkahwinan itu.Topik ini masih terlalu datar untuk mengupas semua isu dalam permasalahan rumahtangga tetapi saya hanya sekadar boleh berpesan kepada semua agar teruskanlah 'belajar dan belajar'...

No comments: