Tuesday, July 22, 2008

Positif berbincang

Dalam kemelut kecil yang membadai pada hari ini, tentunya boleh sahaja menjadikan ikatan sesama kita pun boleh terlerai. Apatah lagi kalau pertelingkahan peribadi yang telah berlanjutan lama dibawa bersama arus sentimen dalam membicarakan hal ini, lebih-lebih lagilah ia boleh membara dengan marak. Isu yang berlaku pada hari ini jika tidak dikendalikan dengan baik bisa membawa keretakan kepada hati-hati yang terasa lantas melahirkan perpecahan fikrah dan kesepaduan saf.



Isu muzakarah jika dinilai dengan objektif tentunya tidak membawa apa-apa masalah. Jika diterima secara terbuka dan ditimbang dengan pemikiran rasional, semua pihak rasanya masing-masing sedang memberikan pandangan dan bertindak kerana sayangkan parti dan bukannya untuk kepentingan peribadi. Maka dalam kemelut ini, janganlah kiranya masing-masing menghunuskan pedang memancung kepala sahabat selepas pedang yang sama begitu hebat berjuang menghapuskan musuh.



Pihak yang inginkan muzakarah diadakan di antara PAS-UMNO saya kira telah melakukan sesuatu yang tepat seperti yang dikehendaki oleh Islam. Sesungguhnya dakwah perlulah sentiasa disebarkan walau siapa pun mad’unya. Bahkan seteruk-teruk Fira’aun yang tentunya lebih teruk dari UMNO diberikan peluang untuk didekati oleh Nabi Musa. Seteruk-teruk Namrud juga pernah mengadakan perbincangan dengan Nabi Ibrahim mengenai isu ketuhanan, bahkan sekafir Iblis juga dihambat keluar dari syurga selepas adanya sesi perbincangan dengan Allah.



Semuanya termaktub di dalam al-Quran. Maka apakah Namrud, Firaun bahkan Iblis lebih baik dari UMNO? Entahlah kalau jawapan anda ialah ya, mungkin pintu muzakarah boleh ditutup terus sampai bila-bila. Tentunya jawapan adalah sebaliknya, maka kerana itu saya mengatakan usaha yang dilakukan oleh beberapa pimpinan bertemu dengan UMNO, jika ia dilakukan di atas hasrat dakwah dan bukan kepentingan peribadi, ia adalah satu perkara yang dituntut.



Saya percaya usaha yang dilakukan oleh beberapa orang pimpinan tentu tidak akan sama sekali membawa PAS untuk ke ribaan UMNO. Jauh sekali untuk tidur sekatil dengan UMNO dana menyertai pentadbiran. Bagaimanapun, kalau demikian, maka langkah tersebut sungguh-sungguh pincang. Inilah yang dibimbangi oleh YAB Tuan Guru Nik Aziz. Saya yakin, seorang tuan guru sepertinya amat memahami intipati tuntuan dakwah. Namun, beliau berbicara dengan neraca sejarah. UMNO pernah mengkhianati PAS dengan sebesar-besar pengkhianatan. Maka, tidak mungkin seorang mukmin digigit di dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. (Lihat Sahih Bukhari, Kitab Adab, Bab Orang Mukmin Tidak Digigit Di Lubang Yang Sama Dua Kali)



Tentunya kita sama-sama mengetahui, PAS bukan hak sesiapa untuk dibawa terjun ke mana-mana gaung. PAS bukan hanya mempunyai seorang ulama sahaja, bahkan barisan ulama yang tentunya perlu diajak berbincang untuk membuat keputusan yang penting dan sebahaya ini. Ia perlu dilumat dan dihadam bukan hanya diterima semata-mata kerana yang mencadangkannya ialah ulama.



Ulama ialah pewaris nabi. Benar, namun mereka terdedah dengan kesilapan serta kesalahan. Ia tidak sama sekali menjejaskan ketinggian seorang ulama, bagaimanapun apa yang salah tidak akan menjadi benar hanya kerana ia keluar dari mulut seorang ulama. Bahkan Imam Malik pernah menyatakan, “Setiap kata-kata itu boleh diterima atau ditolak kecuali kata-kata tuan punya kubur ini (Rasulullah SAW)….”



Maka, saya kira kedua-dua pandangan tidak lahir melainkan kerana cinta dan sayang kepada parti. Bukan kerana kepentingan peribadi dan mana-mana individu. Namun, belum tentu mereka yang berada di belakang kedua-dua pandangan ini bebas dari apa-apa kepentingan! Maka, janganlah sama sekali isu ini mengakibatkan kita melatah, hilang hormat malah menyerang hebat kepimpinan. Berikanlah kepercayaan kepada kepimpinan, atau bertandinglah sebagai presiden pada tahun hadapan.

(Ahmadfhadli.wordpress.com)

No comments: