Ikuti pengalaman seseorang dalam bengkel mencungkil keyakinan diri di kalangan pelajar Malaysia di Indonesia:
“Saya tidak berpuas hati kerana semasa menghadiri seminar-seminar kemanusiaan, aktivis masyarakat dan yang seumpama dengannya, pesertanya begitu yakin sekali berbahas. Pengucapan minda mereka jelas, bernas dan tidak pernah mensesiakan peluang bersoal jawab dengan panelis. Tetapi mengapa apabila saya hadir ke majlis yang Islamik, pesertanya tidak begitu?”, saya melontarkan cabaran kepada peserta PERMAI’08 semasa berbahas tentang aspek KEYAKINAN DIRI.
Wajah peserta sedikit terganggu.
“Kalian ada al-Quran dan al-Sunnah sebagai sandaran hujah. Tetapi tanpa keyakinan diri, kalian tiada kekuatan untuk berdiri. Hingga nantinya kelihatan al-Quran dan al-Sunnah itu yang lemah. Walhal pembela-pembelanya yang berkrisis diri. Tiada keyakinan diri”, saya menyambung lagi.
Cakap teragak-agak.
Muslimatnya segan-segan.
Musliminnya malu-malu.
Walhal cukup belaka hidung, telinga dan biji mata mereka. Entah apa yang disegankan!
PENEGASAN
“Apa bedanya mahasiswa Malaysia itu, ya akhi?”, tanya Ustaz Fadly sebelum sesi beliau bermula.
“Mahasiswa Malaysia itu umumnya kurang keyakinan diri!”, tanpa teragak-agak saya memberikan pandangan.
Nyata sekali, Ustaz Fadly banyak menekankan aspek keyakinan diri ini di dalam sesi beliau. Saya sendiri tidak pasti apakah memang beliau merancang dari awal isi kandungan modulnya, atau terkesan dengan kenyataan saya.
Kelihatannya, peserta semacam mengalami kejutan.
Peserta PERMAI’08 terutamanya muslimat ‘mencipta sejarah’ apabila kali pertama dalam hidup mereka meniup belon hingga meletup, dan mematahkan pensel dengan karate menggunakan satu jari! Kelihatannya mudah, tetapi ia langkah besar untuk mencabar satu cabang dari keyakinan diri.
Tidak ingatkah kita kepada pesan Abu Tayyib al-Mutanabbi:
Jika kamu mahu menjadi seorang yang mempunyai idea, maka jadilah seorang yang berpendirian. Kerana sesungguhnya satu-satu idea itu (biar sebaik mana pun ia) akan menjadi rosak hanya kerana kamu berbelah bagi…!
Berbelah bagi, tidak pasti dalam fikiran, pengucapan dan perbuatan, memusnahkan apa sahaja pendirian yang mahu dipertahankan. Betapa tragisnya al-Quran dan al-Sunnah tersisa di tangan pejuangnya yang tiada keyakinan diri. Itulah yang menjadi kesedihan saya.
INDONESIA ITU PELUANG
Lantas di bumi Indonesia yang terkenal dengan kebebasan mengungkapkan fikiran dan pandangan, saya mahu anak-anak Malaysia yang menuntut di sana mengambil peluang untuk ke depan.
Ungkapkan…
Nyatakan…
Kongsikan…
Biar salah tidak mengapa. Asalkan sudi dibetulkan, dan belajar dari kesalahan itu.
Biar terbukti bodoh, lalu kemudiannya belajar menjadi pandai. Itu lebih baik dari selesa hidup dalam kebodohan yang disembunyikan!
Terima kasih kepada peserta PERMAI’08 kerana bingkas bangun dan segera membuktikan bahawa perubahan itu tidak sesukar yang disangkakan.
SUMBER KEYAKINAN
Dari manakah keyakinan itu bisa dicari?
Pertamanya, kita harus yakin bahawa Allah tidak menciptakan manusia itu ada yang pandai dan ada yang bodoh. Sebaliknya, Allah menciptakan manusia itu berbeza-beza kepandaian. Kejayaan pertama seorang manusia yang Aqil lagi Baliqh ialah pada kejayaannya mengenal potensi diri.
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya [Al-Tin 95: 4]
Cerminkan diri dengan mengambil teladan dari orang lain yang berjaya, tetapi yang realiti itu tetap si insan yang berdiri di depan cermin. Jangan sibuk hendak menjadi orang lain, sebaliknya berusahalah untuk menjadi diri sendiri. Cari keistimewaan diri… dan bertandinglah dengan diri sendiri.
“Macam mana caranya?”, itu persoalan yang berbaki.
“Kuncinya ialah, lakukan setiap sesuatu dalam hidup ini secara bersungguh-sungguh. Nescaya kita akan cepat mengenal batas upaya dan juga potensi diri. Berenang biar sampai ke tepian. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan!”
Sekali lagi, budaya cincai dan buat kerja acuh tidak acuh itu menjadi musuh kepada perkembangan diri.
SINDROM MENARIK DIRI
“Ustaz, saya rasa dulu saya lebih berkeyakinan diri. Berani ke depan, selalu bersuara. Tetapi semenjak saya bertudung, saya rasa saya mengalami masalah yang ustaz sebutkan. Kurang keyakinan diri. Banyak mendiamkan diri. Tidak lagi seperti dulu!”, keluh seorang peserta kepada saya.
Saya amat menghargai perkongsian peserta tersebut kerana ia menyingkap satu lagi sudut yang boleh sama-sama saya dan kita semua fikirkan.
Pada pandangan saya, ketika proses ‘hijrah’ itu berlaku, secara tanpa sedar seorang muslimah itu hidup dalam mindset bahawa dia sedang berubah dan jadi berbeza dengan sebelumnya. Dirinya bukan sahaja berbeza dengan dirinya yang terdahulu, malah sedikit demi sedikit merasakan dirinya berbeza dari rakan-rakan yang mengelilingi… dan terus hidup dalam lingkungan perbezaan.
Perasaan yang sebegitu, secara sedar atau tidak membina tembok.
Tembok itu bukan tembok pemisah, tetapi tembok untuk menyembunyikan diri.
Kita mula menyembunyikan diri di balik tembok (tudung?) itu.
Saya istilahkan keadaan ini sebagai SINDROM MENARIK DIRI.
Bergembiralah kerana kalian adalah ‘anggur, oren, pisang dan tembikai’ yang terbaik atas perbedaan
LANGKAH PERUBAHAN
“Apa yang patut saya buat, ustaz?”, tanyanya jujur.
Saya bukanlah Profesor Serba Tahu yang ada jawapan untuk setiap soalan. Namun, apa yang boleh saya kongsikan, saya kongsikan demi kebaikan.
“Jika ukhti sudah mengenal pasti bahawa tudung itu hanya perubahan ke arah mendekati Allah, maka dekatkan diri kepada Allah tetapi teruskan juga mendekati manusia dan jangan menarik diri. Kekalkan malu tetapi hapuskan segan!”, saya menyimpulkan perkongsian.
Anak Malaysia di bumi Indonesia harus tinggi keyakinan diri.
Kami di kampung halaman memerlukan insan biasa yang luar biasa. Jangan pulang sebagai orang yang biasa-biasa aja!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment