Tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan, dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan” – Umar al-Khattab r.a.
Baiah merupakan perjanjian untuk memberi ketaatan, manakala orang yang melakukannya seolah-olah membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ianya merupakan perbuatan sunnah Nabi S.A.W. yang pernah diberikan oleh para sahabat beberapa kali kepada Rasulullah S.A.W. seperti Baiatul Aqabah Pertama dan Kedua, serta Baiatul Ridhwan.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Junaidah bin Abi Umayyah dari ‘Ubaidah bin Al-Samit yang menyatakan:”Rasulullah S.A.W. telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada baginda… kemudian `Ubaidah berkata:”Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah) dalam perkara yang kami sukai atau benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap amir (ketua) dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.”
(dari Sahih Bukhari)
Menunaikan baiah adalah wajib manakala melanggarnya merupakan maksiat. Ibnul Juzi Al-Maliki pernah berkata:“Kita tidak harus menentang kerajaan (yakni kerajaan Islam) sekalipun (pimpinannya) melakukan kezaliman sehinggalah ternyata kepada mereka kekufuran yang jelas, ketaatan mestilah diberikan kepada mereka sama ada dalam perkara yang disukai mahupun dibenci kecuali mereka memerintahkan supaya melakukan maksiat, maka dalam keadaan demikian tidak ada ketaatan kepada makhluk yang bermaksiat kepada Allah.”
(Qawaniyyin Fiqhiyyah 14)
Taat dan Hukum Syara’
Taat ertinya menurut perintah. Apabila tidak berlaku, maka maksiat dan fitnah yang menggantikan tempatnya. Memberi ketaatan adalah WAJIB selama tidak termasuk dalam perkara maksiat atau yang membawa kepada maksiat sebagaimana firman Allah:
“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan Rasul(Nya) dan Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika sekiranya kamu berselisih dalam sesuatu urusan, maka kembalilah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (hadis-hadis), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih baik (bagimu) dan lebih bagus kesudahannya.”
(Al-Nisa’: 59)
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Barangsiapa yang mentaatiku bererti ia telah mentaati Allah. Barangsiapa yang menderhakaiku maka ia telah menderhakai Allah. Barangsiapa yang mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan barangsiapa yang menderhakai amir-amirku bererti ia telah menderhakaiku.”
Rukun-rukun Baiah
As-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah merumuskan tentang rukun-rukun baiah dengan berkata:”Rukun baiah kita sepuluh semuanya, peliharalah ia dengan sebaik-baiknya.”
1. Faham
Memahami dan meyakini bahawa fikrah kita adalah fikrah Islamiyyah sejati dan hendaklah kita memahami Islam sebagaimana pimpinan memahaminya berdasarkan kepada prinsip dua puluh yang telah ditetapkan. (rujuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam)
2. Ikhlas
Berniat bahawa segala perbuatan, perkataan dan perjuangan jihad adalah kerana Allah dan untuk mendapatkan keredhaanNya dengan tidak mengharapkan keuntungan. Dengan niat yang ikhlas ini kita akan menjadi tentera yang setia kepada fikrah dan aqidah.
3. Amal
Melakukan perbaikan (islah) terhadap diri, membina rumahtangga Muslim, membimbing masyarakat, membenaskan tanahair membetulkan kerajaan sehingga benar-benar bersifat Islam dan sebagainya.
4. Jihad
”Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang dan pernah berniat untuk berperang bererti beliau mati dalam keadaan jahiliyyah”
(hadis)
Jihad dan pengorbanan merupakan syarat utama bagi perjalanan dakwah ini. Dakwah tidak sekadar memberi penerangan lisan ataupun melalui tulisan sahaja tetapi lebih daripada itu. Terdapat berbagai-bagai cabang jihad, seperti jihad menuntut ilmu, jihad menentang hawa nafsu malahan jihad juga merangkumi aktiviti mempertahankan kesucian syariat Islam dalam apa jua bentuk sekalipun!
Terdapat marhalah-marhalah dan peringkat jihad dalam Islam. Mengikut pandangan Imam Ibnul Qayyim, jihad melalui medah peperangan sebagai contohnya, pada peringkat pertamanya adalah dilarang, kemudian, pada peringkat kedua dibenarkan dan seterusnya dituntut ke atas golongan Musyrikin.
Namun sejak kebelakangan ini, timbul banyak penafsiran tentang definisi jihad yang meragukan, bertujuan untuk mengaburi umat Islam dari memenuhi tuntuhan berjihad sepertimana yang dituntut oleh Islam.
*rujuk Syed Qutb (1994)
5. Berkorban
Mengorbankan jiwa, harta benda, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk tujuan mencapai matlamat. Mementingkan maslahat umum lebih daripada kepentingan diri sendiri juga termasuk dalam rukun ini. Diri sendiri dianggap sebagai pemberian Allah yang perlu dipelihara tetapi jemaah ialah amanah tertinggi yang perlu diberi keutamaan.
6. Taat
Mematuhi perintah dan melaksanakan dalam segala keadaan sama ada disukai ataupun dibenci. Namun taat bukan bermakna menerima tiada ruang perbincangan antara jundi dengan pimpinan, bukan pula bermakna mematuh dan melaksanakan apa jua bentuk perintah tanpa sebarang pengetahuan ke atas perkara yang dilakukannya.
*rujuk Fathi Yakan (1996) dan M Natsir (1980)
7. Tetap Pendirian
Terus menerus beramal dengan bersungguh-sungguh untukmencapai matlamat sekalipun memakan masa yang begitu lama sehinggalah kita bertemu Allah dalam keadaan beramal dan berjihad.
8. Tegas (Tajarrud)
Membersihkan fahaman (fikrah) dari segala pengaruh prinsip mahupun individu-individu yang bertentangan dengan fikrah kita kerana fikrah ini adalah yang tinggi dan lengkap kerana Allah. Ianya juga bermakna tegas dalam melaksanakan perintah Allah di segenap bumi ini serta redha dalam perkara maksiat dalam apa jua keadaan sekalipun.
9. Persaudaraan (ukhuwwah)
Mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh antara kita dengan ikatan aqidah kerana ikatan aqidah ini ialah ikatan yang paling kukuh dan berharga. Memelihara ikatan ukhuwwah merupakan perkara yang dituntut dalam Islam memandangkan umat Islam diikat dengan ikatan persaudaraan (aqidah) yang tinggi.
10. Percaya (Thiqah)
Thiqah bermaka kepercayaan jundi (tentera) kepada kemampuan dan keikhlasan pimpinannya sehinggakan menimbulkan rasa kasih, menghargai, menghormati dan memberi sepenuh ketaatan kepadanya.
“Barangsiapa yang beramal dengan ilmu yang diketahuinya akan diwariskan kepadanya ilmu yang tidak diketahuinya dari Allah S.W.T.”
Rujukan:
1. Ahmad Abd al-Mun`im al-Badri, Tanzim Haraki Dalam Islam, Pustaka Salam,
1998
2. Fathi yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, Dewan Pustaka Fajar, 1996
3. Fqhud-Da`wah, M Natsir, Singapura, 1980
4. Syed Qutb, Petunjuk Sepanjang Jalan, Cresent News, 1994
(Di petik dari blog roslan sms)
No comments:
Post a Comment