Monday, August 11, 2008

Kebimbangan Tuan Guru Nik Aziz berasas?

Wujud hasad dengki dalam Pakatan Rakyat terhadap Anwar

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan wujudnya hasad dengki dalam Pakatan Rakyat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memenangi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, ada pihak cuba sabotaj bagi memastikan Anwar tidak berjaya menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Saya dapati memang ada orang yang dengki kepada Anwar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MATA Fair peringkat Kelantan di sini, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas hasrat Anwar untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh namun beliau semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan.

Pilihan raya kecil itu diadakan setelah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkannya bagi memberi laluan kepada suami beliau untuk bertanding.

Nik Abdul Aziz juga menasihatkan pihak yang menyimpan perasaan dengki itu agar melupakan hasrat mereka demi kebaikan Pakatan Rakyat. “Beri peluang kepada Anwar untuk masuk jadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata walaupun wujud jurang perbezaan dalam ideologi politik dengan PKR, Pas harus akur untuk menyokong PKR dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh itu.

Katanya beliau mengakui perbezaan pandangan dari segi politik antara PKR dan Pas namun di bawah semangat Pakatan Rakyat, parti itu harus bekerjasama.

“Pas perlu memberi sokongan kepada Anwar walaupun dari segi politik tidak serupa,” katanya. Nik Abdul Aziz berkata beliau menyokong Anwar kerana mendapati Pensihat PKR itu adalah pemimpin Melayu yang berpengalaman dalam pentadbiran negara dan dikenali di peringkat antarabangsa. — Bernama



"Setelah saya meneliti dan mencari di mana asasnya,saya menemui dua tulisan ini.Saya tidak menuduh mereka terlibat tetapi sekadar merasakan tulisan mereka mengandungi sesuatu yang menarik untuk diteliti.Untuk semua,Cuba teliti tulisan ini..."




"CADANGAN: JIKA ISLAM TIDAK DOMINAN PAS WAJIB MENARIK DIRI


Ramai juga yang yakin bahawa Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan persekutuan pada 16 september ini . Saya sendiri beberapa kali diajukan pertanyaan apakah benar kerajaan ini akan dibentuk pada 16 september.

Saya hanya menjawab Wallahua'lam ( Allah swt. sahaja yang maha Mengetahui ) . Saya tidak mahu mendahului takdir Ilahi .

Sememangnya hati dan perasaan saya cukup tebal agar Kerajaan Barisan Nasional yang menganut faham sekular ini ditumbangkan bersama dengan koleksi kezaliman dan kekejaman yang mereka lakukan ke atas rakyat negara ini.

Tetapi sebagai seorang anggota gerakan Islam , saya juga tidak mahu kita meruntuhkan kerajaan jahiliyyah dan membina kerajaan jahiliyyah yang baru . Sebaliknya apa yang kita mahu ialah kita meruntuhkan kerajaan Jahiliyyah dan kita menubuhkan Kerajaan Islam yang menepati konsep Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafuur .

Andai benar Pakatan Rakyat berjaya menubuh kerajaan persekutuan pada 16 sept ini , persoalan tertumpu kepada bagaimana bentuk kerajaan tersebut ?

Apakah kerajaan tersebut terdiri daripada majoriti ahli parlimen dikalangan bukan Islam ? apakah jawatan timbalan perdana menteri juga akan terdiri dikalangan bukan Islam ? Dengar khabarnya Perdana Menteri sudah pasti Dato' Seri Anwar Ibrahim dan beliau di katakan akan melantik 3 timbalan perdana menteri .

Saya tidak bersifat perkauman . Ertinya saya tidak kisah MP ( ahli parlimen ) terdiri dari kalangan bangsa / kaum Cina , India , Melayu atau lainnya , tetapi yang penting mestilah muslim dan mukmin.

Justeru itu , jika kerajaan Pakatan Rakyat yang dikatakan akan terbentuk pada 16 sept ini tidak didominasikan oleh MP dikalangan muslim , maka ia membawa maksud kerajaan itu bukan lagi kerajaan orang Islam ( jauh sekali kerajaan Islam ) .

Maksud yang sama juga ialah kuasa politik negara ini bukan lagi berada di tangan orang Islam. Tentu sahaja masa depan orang Islam di negara kita akan terus menghadapi hari - hari suram dan kelamnya.

Pada hemat saya , PAS sebagai sebuah Gerakan Islam tidak boleh membenarkan kerajaan yang menghakis kuasa politik orang Islam dibentuk dalam negara kita. Membenarkannya juga membawa erti kita telah melanggar dan bersalahan dengan semangat perlembagaan parti yang kita tubuh dan perjuangkan selama ini. Iaitu ke arah membentuk kerajaan yang terlaksana di dalamnya al amru bil makruf dan an Nahyu anil Mungkar pula menurut lunas syariat .

PAS mesti memastikan kuasa politk terus kekal ditangan orang Islam sekalipun ia bukan melayu . Namun secara sifir kasarnya orang Islam di dalam negara kita adalah terdiri ramai dikalangan orang melayu .

Pakatan Rakyat , khasnya Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri mestilah peka perkara ini . Kerajaan yang hendak dibentuk mestilah tidak meninggalkan kuasa politik orang - orang Islam khasnya dan orang melayu amnya.

Janganlah asal boleh menjadi Perdana Menteri, maka siapa sahaja ahli parlimen yang boleh bersama untuk membentuk kerajaan diterima lalu dibentuk kerajaan tanpa melihat di mana kuasa politk orang Islam dan dimana kuasa politik orang Melayu ?

Kebimbangan saya ini berasaskan maklumat bahawa 30 MP yang bakal melompat masuk Pakatan Rakyat adalah terdiri dari kalangan MP bukan Islam kecuali 2 orang sahaja .

Saya cadangkan PAS mesti keluar dari Pakatan Rakyat jika Pakatan Rakyat terus bermaksud ingin membentuk kerajaan persekutuan tanpa memastikan agar kuasa politik itu mesti didominasikan oleh orang Islam .

Saya rasa , semua orang Islam apatah lagi pendokong gerakan Islam boleh bersetuju dengan cadangan saya .

Kalau kita begitu terguris hati apabila PAS mengadakan muzakarah dengan UMNO kerana melihat UMNO adalah musuh politik , zalim , kejam dan segala najis mungkar bersamanya , saya yakin mereka ini akan lebih terguris hatinya ketika melihat kerajaan persekutuan yang bakal dibentuk pada 16 sept oleh Pakatan Rakyat nanti , didominasikan oleh golongan bukan Islam . Sekurang - kurangnya UMNO yang dibenci itu masih lagi ahli syahadah.

Kepada sahabat perjuangan , perkukuhkan amal Islami kita , perteguhkan gerak kerja amal tarbawi kita guna memacu perjuangan yang kini memasuki episod baru , membelah badai yang datang dari segenap arah untuk meranapkan cita - cita besar kita , yang mahu melihat tertegaknya Negara Islam di atas tanahair kita .

Hari ini , saya semakin faham kenapa Tok Guru Presiden terus bertegas untuk bermuzakarah dengan siapa sahaja individu , parti politik atau pun NGO demi masa depan Islam dan ummah agar kuasa politik terus ditangan ummat Islam dan ianya tidak terlepas.

Apa yang semakin saya pelajari dari skil politik Tok Guru ini ialah agar kita berhati - hati memacu perjuangan supaya tidaklah kita keluar dari mulut buaya ( Jahiliyyah ) dan kita masuk mulut harimau ( jahiliyyah )

Buaya meskipun ganas , keganasannya hanya terhad di dalam air ( sungai ) yang jarang - jarang sekali kita merentasinya. Apa yang lebih bimbang ialah Harimau , keganasannya adalah di darat sedang kita hidup didarat ini .

Semoga Allah selamatkan Perjuangan suci ini . Takbiiiirr !! ( 3 kali )

Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi



"Mereka seolah olah bergabung untuk menyampaikan mesej sekalipun dari sudut yang berbeza.."



Ya Allah, kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu
Oleh Mohd Asri Zainul Abidin
Ahad, 10 Ogos 2008

MENENTUKAN pendirian di zaman yang penuh kekeliruan dan pancaroba ini adalah sesuatu yang amat sukar. Banyak perkara yang beritanya itu begitu banyak, tetapi untuk memastikan yang benar mengenainya bukanlah sesuatu yang mudah.

Apatah lagi barangkali zaman kita ini zaman kekeliruan dan kemunculan begitu ramai ruwaibidoh. Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat - adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya.

Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.

Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan asnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).



Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya. Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa).
Zaman ini mungkin, jika umat tidak berhati-hati maka ramai pengkhianat diangkat sebagai hero atau pembela masyarakat. Ramai pula yang jujur dan bercakap benar, dianggap sebagai pembohong dan pendusta.

Ramai pula yang tidak amanah ditabalkan dengan berbagai-bagai gelaran kemuliaan. Sementara yang amanah dan jujur akan dipinggirkan.

Hanya mereka yang memiliki jiwa yang luhur yang mampu membuat keputusan yang benar.

Justeru, Nabi SAW mengajar doa yang baik untuk diamalkan, terutama bagi kita pada zaman seperti ini, antaranya: Daripada Umm Salamah, katanya: Nabi tidak pernah keluar dari rumahnya sama sekali melainkan baginda mengangkat matanya ke langit dan bersabda: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada aku sesat atau disesatkan, gelincir atau digelincirkan, menzalimi atau dizalimi, bodoh atau aku diperbodohkan” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani).

Baginda menunjukkan kepada kita contoh dan peringatan yang baik. Betapa hidup ini jika tidak dengan bimbingan Allah, nescaya manusia akan tersesat jalan.

Mungkin seseorang insan akan tersesat atau dia disesatkan oleh orang lain. Atau sendiri tergelincir dari jalan kebenaran, atau digelincirkan oleh orang lain. Mungkin juga dia menzalimi orang, atau orang lain menzaliminya. Atau dia bertindak secara bodoh atau orang lain menyebabkan dia menjadi bodoh. Ya! Rabb, hanya Engkau mampu melindungi.

Pada zaman ini, pelbagai berita datang dari bermacam penjuru. Bagaikan kilat, bahkan mungkin lebih pantas daripada kilat. Kemudahan teknologi telah bertukar menjadi kesusahan kehidupan yang mencetuskan segala rasa ketidaktenteraman, keraguan, kekacauan maklumat dan fitnah.

Sehingga kita kadang-kala tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah. Tidak dapat membezakan lagi antara berita fasik atau berita soleh atau berita lagha (sia-sia).

Jika al-Quran mengajar kita: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.(Surah al-Hujurat ayat 6).

Malangnya kita pula berada pada zaman yang walaupun era teknologi tetapi penggunanya sukar untuk dibezakan antara yang soleh dan fasik. Ramai yang menampakkan dirinya soleh, hakikat mereka ialah golongan jahat yang mencetuskan berita-berita fasik lagi bohong.

Bahkan bukan sedikit yang mengkaburkan kita dengan mendakwa segala tuduhan orang kepada dirinya semua bohong dan khianat, sementara jika dia menuduh orang lain pula semua benar dan betul.

Padahal, mungkin kesemua mereka yang bersandiwara itu hanyalah penyangak dan penyamun.

Pengganas

Jika berita itu tajaan ‘Amerika dan konco-konconya’, maka ramai pula orang yang baik dan soleh disenarai hitamkan sebagai pengganas.

Rakyat Palestin yang dibunuh saban hari dituduh sebagai pengganas kerana menentang dajal Israel yang merupakan Tuhan Politik Amerika.

Demikian mana-mana umat Islam yang bumi mereka diceroboh akan ditabalkan sebagai pengganas jika menentang pihak yang menceroboh apabila penceroboh itu bersekongkol dengan Amerika.

Wajah para pejuang yang jujur dan baik sentiasa buruk pada nilaian media tajaan Amerika dan Yahudi, jika perjuangan itu tidak mendapat restu atau berlandaskan garis panduan yang ‘diredai’ oleh Amerika.



Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.
Betapa ramai insan muslim yang tidak membuat sebarang jenayah cuba diheret oleh Amerika ke kandang orang salah hanya kerana perasaannya membenci kezaliman dan kedajalan Amerika.

Entah berapa ramai ulama yang Amerika labelkan mereka sebagai pengganas dan dipaksa kerajaan-kerajaan mereka bertindak ke atas mereka tanpa dosa yang nyata.

Dunia media Amerika penuh dengan pembohongan. Generasi kita pula, tidak semua mempunyai kemampuan membezakan antara berita yang benar diolah secara jahat, atau berita bohong yang ditipu secara terang atau berita palsu yang diriwayat secara indah. Maka terzalimlah banyak pihak.

Justeru kadang-kala kita tidak hairan apabila umat Islam yang beriman dan ikhlas sama ada di Barat atau Timur mempunyai kerisauan, atau berhati-hati atau salah sangka jika seseorang tokoh agama atau politik muslim itu begitu dipuja oleh media-media tajaan Amerika.

Dunia fasik ini amat mengelirukan kita.

Kehidupan juga demikian pada zaman ini. Entah berapa ramai yang menggunakan agama untuk membohongi orang lain. Betapa banyak serban dan jubah digunakan untuk melariskan barang atau untuk mengutip derma yang akhirnya masuk ke kocek sendiri.

Betapa ramai pula penceramah agama yang membaca nas-nas sama ada palsu atau dimanipulasikan demi melakukan barang jualannya.

Entah berapa banyak nas al-Quran dan al-Sunnah digunakan untuk mendapat kuasa dan harta.

Padahal cita-cita politik dan harta mereka tidak pula bertujuan mendaulatkan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Ini bukan perkara baru, tetapi telah lama bermula. Firman Allah: (maksudnya): Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah”, supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).

Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya.

Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa).

Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.

Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Ketajaman pemikiran yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan umat telah digunakan untuk menjatuhkan sesama sendiri.

Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan. Maka tidak hairanlah jika Abu Musa ra. al-Asy‘ari menceritakan “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW.

Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Jika mengikut prinsip Islam, semua mereka yang gila ingin mendapatkan kuasa itu, hilang kelayakan untuk memimpin umat.



Kegilaan kuasa

Kegilaan kuasa adalah lambang kedangkalan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat. Mungkin jika perkara ini disebut kepada orang politik mereka kata “itu cakap yang tidak canggih dalam politik”.



Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan.
Namun mereka lupa, sistem politik perebutan kuasa warisan demokrasi penjajah yang meninggalkan keharmonian sistem Syura dalam Islam itulah yang telah membawa politik kita ke kancah permainan wang, permusuhan, pragmatisme yang melupai prinsip dan segala keburukan yang lain.

Sabda Nabi SAW: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam Islam, tanggungjawab kita membaiki keadaan politik, bukan menggilai kuasa politik jatuh ke tangan sendiri. Apabila kuasa itu menjadi kegilaan, maka kawan akan tikam kawan, sahabat akan bunuh sahabat, yang berpakat akan berpecah, yang berbeza prinsip dan dasar akan berpakat, yang tidur sebantal akan mimpi berbeza, bahkan mungkin membunuh kongsi dalam mimpinya. Itulah politik yang meminggirkan wahyu.

Meminta jawatan kepimpinan dalam Islam adalah dilarang melainkan dalam keadaan darurat apabila keadaan memaksa seseorang mendapatkannya untuk menyelamatkan umat. Itupun, hendaklah penuh dengan tawaduk dan merendah diri kepada Allah SWT.

Usaha untuk mendapatkan jawatan itu dijadikan ibadah yang dijaga disiplin dan peraturannya. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. yang pernah kita sebutkan. Firman Allah ayat 55-56: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.

Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.

Dalam jiwanya insan mukmin soleh yang terpaksa mendapatkan kuasa itu bukan kegilaan kepada kuasa, tetapi tuntutan dan tanggungjawab membimbing manusia ke arah kehidupan yang berpandukan wahyu Ilahi.

Tidak kerana ingin membalas dendam, juga bukan sekadar untuk menurunkan harga barang atau menghapuskan rasuah. Tanggungjawab kepimpinan lebih daripada itu. T

anggungjawab pemimpin adalah membawa kita semua ke dataran yang diredai Allah, menyelamatkan rakyat dari kemusnahan hidup di dunia dan keburukan hidup di akhirat.

Dari diri yang insaf dan mendampingi Allah, lidah yang memuja dan memuji kebesaran-Nya dibangunkan niat dan usaha untuk membaiki urusan pemerintahan. Tidak kerana kuasa yang diidamkan, tidak juga kerana harta yang ingin dikumpulkan.

Ini dapat dilihat dalam kehidupannya secara peribadi yang berpandukan wahyu, mereka yang di sekelilingnya yang terdiri daripada insan-insan soleh dan mematuhi arahan Allah dan rasul-Nya, bukan insan-insan ‘yang dicurigai’.

Jika ini terjadi, tamatlah politik wang, maki hamun, londeh-melondeh, tuduh-menuduh dan matlamat menghalalkan cara seperti yang kita lihat pada gelagat ‘artis-artis’ politik kita pada hari ini.

Kita rindukan kuasa politik kita jatuh ke tangan insan-insan yang seperti ini. Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk dilakukan tajdid (pembaharuan) menyeluruh kepada landskap politik kita yang kian serabut dan berselerak. Kita rindukan kempen politik yang penuh harmoni dan mengingatkan kita kepada Allah dan menjauhkan kita dari kegilaan kuasa.

Kita rindu mereka yang memasuki daerah politik hanya kerana kejujuran bukan kerana ‘ketagihan kuasa’. Kita rindukan mereka yang seperti ‘Umar bin al-Khattab yang berdoa agar Allah mengambil nyawanya sebelum dia mencuaikan tugasannya.

Kita rindukan watak ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz yang menangis bersendirian bimbang kegagalan menunaikan amanah Allah. Kita rindukan kejujuran dan amanah yang menghiasi kecepatan dan ketangkasan dalam bersiasah. Ya Allah! Kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu!

Penulis merupakan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Rencana ini dipetik daripada kolum Pena Mufti Mingguan Malaysia - Pengarang


"Sekadar untuk tatapan dan penilaian.."

No comments: