Oleh ibnuhasyim
"PAS adalah singkatan dari Parti Islam Se Malaysia. Perjuangan PAS adalah kesinambungan dari perjuangan para Rasul dan Nabi-nabi. Bermula dari Adam AS (Alaihi Wassallam) hingga ke Nabi terakhir Muhammad SAW (Sallallahu Alaihi Wasallam). Disambung oleh khalifah-khalifah Ar-Rasyidin Abu Bakar RA (Radiyallahu An), Umar RA, Uthman RA, Ali RA, Khalifah-khalifah Bani Umayah, Bani Abasiah dan yang terakhir sekali kerajaan Uthmaniah di Turki.
Maka ulama-ulama pewaris para Nabi memegang amanah dan meneruskan perjuangan tersebut. Perjuangan PAS yang bertolak dari kalimat ‘La Ilaha Illallah’ secara seluruhannya berdasarkan kepada Al-Qur’an, As-sunnah dan tokoh-tokoh Khulafa Ar-Rasyidin. As-syahid Sayyid Qutb, dalam bukunya ‘Mu’allim Fit-thariq’ menyebutkan: “... Tamaddun insan akan terjadi apabila hakimiah yang tertinggi dalam masyarakat itu diletakkan kepada Allah SWT (Subhanahu Wa Taala) semata-mata, tanpa wujudnya pengabdian atau ketaatan kepada selain daripadaNya.” Di sinilah titik-titik pertemuan dalam perjuangan antara PAS dengan gerakan-gerakan Islam lain. Sehingga golongan-golongan beraliran seperti ini sering dicop atau dilebelkan ‘fundamentalis’. Contohnya, gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia dan lain-lain. Begitu juga fahaman Islam melalui gerakan pembaharuan Islam sejagat dengan arus menentang dan membebaskan diri dari penjajahan barat ke atas negara umat Islam.Antaranya adalah ulama tiga serangkai Syed Jamaliddin Al-Afghani dan muridnya Syeikh Muhammad Abduh, serta Syed Rasyid Ridha di Asia Barat. Gerakan mereka melalui majalah ‘Al-Manar’ diterbitkan di Kaherah yang mengandungi makalah islah dalam bidang agama dan sosial. Begitu juga majalah ‘Al-Urwatul Wuthqa’ diterbitkan di Paris, yang banyak membincangkan isu-isu penjajahan. Gerakan islah mereka juga telah berjaya mendapat tempat di hati pelajar-pelajar Melayu di Timur Tengah, terutamanya dari Universiti Al-Azhar. Pelajar-pelajar tersebut termasuk dari Indonesia telah menubuhkan persatuan dan menerbitkan akhbar ‘Seruan Al-Azhar’. Pengaruh ulama tiga serangkai tersebut mula merembas masuk ke Tanah Melayu pada awal kurun ke 20 berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Angkatan pembaharuan ini telah muncul tahun 1906, dengan menerbitkan majalah ‘Al-Imam’ di Singapura. Tahun 1926 terbit pula majalah ‘Al-Ikhwan’. Tahun 1925 akhbar ‘Edaran Zaman’ dan ‘Saudara’ pada tahun 1928. Semuanya terbit di Pulau Pinang. Angkatan tersebut dipimpin oleh Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al-Hadi dan Haji Abbas Taha. Mereka berpendapat antaranya: “Kelemahan umat Islam itu adalah disebabkan oleh penganut-penganutnya tidak mengikuti ajaran-ajaran Islam yang betul, sebagaimana terkandung di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith.” Bukan itu sahaja, golongan reformasi ini telah berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam yang merdeka. Mereka juga dikatakan berjaya mencetuskan revolusi intelektual di kalangan masyarakat Melayu yang akhirnya menubuhkan beberapa kesatuan bagi memajukan bangsa Melayu dan umat Islam pada tahun-tahun berikutnya. Persatuan Melayu pertama bercorak politik secara nyata ditubuhkan di negara ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan lbrahim Haji Yaakob. la ditubuhkan pada Mei 1937. Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran mahu memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British. Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana ia telah diharamkan oleh Jepun semasa Jepun menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941-1945. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, sebuah parti politik baru Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau disebut juga Malay Nationalist Party (MNF). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya berpindah tangan kepada Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Haji Muhammad. Dr Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris disamping bahasa Melayu. PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh. Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah. PKMM telah berjaya perluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya. Selain Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA) juga merupakan antara sayap atau bahagian dalam struktur organisasi PKMM. MATA merupakan bahagian agama parti berkenaan. N.J.Funston menyebutkan, tujuan utama penubuhan MATA adalah untuk mengekalkan pengawalan hal ehwal Islam oleh mana-mana pihak. Di dalam persidangannya, telah diisytiharkan tentang pemisahan hal-hal agama dari dikawal oleh mana-mana negeri secara persendirian. Mereka berpendapat, sultan-sultan tidak cekap membuat keputusan dalam hal-hal agama. Kongres telah mendesak supaya kuasa yang berkaitan dengan agama diserahkan kepada MATA . N.J.Funston. -Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur. Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan ‘Hizbul Muslimin’ pada 14 Mac 1948, di Sekolah Agama Al-Ihya As-Syarif, Gunung Semanggul Perak. Tujuan PKMM melahirkan Hizbul Muslimin sebagai sayapnya adalah bagi mengumpulkan tenaga para ulama. Maka lahirlah sebuah parti Islam pertama di negara ini! Matlamat utama ditubuhkan:
Untuk mencapai kemerdekaan.
Membina sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam.
Untuk mendirikan sebuah negara Islam atau Darul Islam. Bagi mencapai ketiga-tiga matlamat ini, Hizbul Muslimin telah mengemukakan 7 lagi objektif.
Untuk menimbulkan prinsip kesedaran politik di kalangan orang-orang Islam di Malaya.
Untuk menyatupadukan umat Islam di bawah satu ideologi.
Untuk menyokong kebebasan cetak, bersidang dan bersuara.
Untuk menambah jumlah sekolah dan menyediakan jenis pendidikan menurut keinginan masyarakat pada waktu itu.
Untuk mempertingkatkan akhlak orang-orang Melayu.
Secara amnya, untuk menjaga kebajikan dan kedudukan ekonomi orang-orang Melayu.
Tambahan pula ia sedia berkerjasama dengan parti-parti politik dan pergerakan Islam dari luar negeri. Hizbul Muslimin atau Hamim dipimpin oleh antaranya:
Ketua Umum – Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.
Naibnya - Ir.Haji Ariffin Alias dari Johor Bahru.
Setiausaha - Ustaz Uthman Hamzah.
Cik Gu Muhammad Daud Jamil dari Kelantan.
4 orang wakil :
Ustaz Yahaya bin Abdullah selaku ketua.
Ustaz Harun Fahmi Taib.
Ustaz Baharudin Latif.
Ustaz Uthman Hamzah. Dalam pendiriannya, Hizbul Muslimin menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO. Bagaimanapun, riwayat hidup Hizbul Muslimin berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai tujuh orang pucuk pimpinannya, termasuklah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir sendiri di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulations. Rupanya penyekatan, penekanan dan pengempangan ke atas arus kebangkitan Islam yang tidak dapat dibendung itu, secara tidak langsung membantu dan menambahkan lagi semangat untuk wujudnya parti Islam yang lain. Keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS seterusnya. Ada juga ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlu dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, pemimpin MATA dan seterusnya Hizbul Muslimin, kerana mereka telah menggarap sebahagian besar dari ground work yang melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS. Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih tertonjol lagi apabila sebahagian besar dari bekas pucuk pimpinannya turut menyertai PAS dan memainkan peranan secara aktif. Mereka antaranya termasuklah Ustaz Othman Hamzah yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam PAS, dan pernah berkhidmat sepenuh masa hingga ke akhir hayat dengan PAS. Begitu juga Ustaz Baharuddin Abd. Latiff, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi. Juga dikatakan besar kemungkinan Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan turut diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini. Tambahan lagi ramai pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa dengan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja perjudian (loteri). Pegerakan reformasi ini dikatakan amat berpengaruh dalam masyarakat dan boleh menggugat pihak penjajah British pada waktu itu dan masa mendatang. Tuduhan ‘bahaya dari gunung’ atau ‘Red Islamic Party’ oleh Datuk Onn Jaafar tokoh UMNO, parti yang dibenarkan dan dibelai oleh penjajah waktu itu, adalah sebagai buktinya. Apalagi bila kita melihat kepada kepada ‘janji Allah’ pada firman-firman di bawah ini... - ‘Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.’ Surah Al-Mujadalah ayat 22.- ‘Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi.’ Surah Yunus ayat 14- ‘Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu.’ Surah Muhammad ayat 7.- ‘Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. Dia yang telah mengutuskan RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka.’ At-taubah ayat 32 & 33.
Maka bertambah lagi semangat ulama-ulama tersebut untuk menubuhkan parti Islam.
No comments:
Post a Comment