Thursday, February 15, 2007

Orang politik

Kadang kadang ada juga terdetik dalam pemikiran saya untuk menjadi orang politik.Dengan itu saya pasti akan lebih mudah untuk melontarkan gagasan pemikiran yang selama ini dipendamkan.Namun begitu,sering juga terpacul dalam perkiraan saya betapa untuk menjadi orang politik itu bukanlah satu kerja yang mudah.Ianya harus bermula dengan bukan saje azam yang kuat malah ekonomi diri juga haruslah berada pada kedudukan yang mantap lagi kukuh.Tanpa keduanya perjalanan itu pasti tidak akan membawa saya walau kemana pun.Apakah saya sudah bersedia?

Apa yang menjadi persoalannya lagi ialah,apakah kedudukan politik itu nanti akan benar benar mampu membantu saya dalam melaksanakan cita cita tersebut.Sebagai mengambil contoh yang terdekat,saya boleh juga melihat kepada tokoh politik yang sedang mengepalai negara sekarang perdana menteri Datuk Seri Abdullah Badawi.Cabarannya dalam mengemudikan bahtera merdeka ini tentu amat mencabar sekali.Beliau sudah tentu harus menyelesaikan segala isu dari pelbagai sudut yang agak kompleks.

Pendirian saya tentang beliau ialah,tidak mengambil jalan kritis sebagai bahan yang ingin dipaparkan kepada masyarakat umum.Sekalipun ada juga satu dua perkara yang ingin saya kritik tentangnya,tetapi permasalahan adalah lebih besar dari sekadar mengkritik pemerintahan yang sedang beliau corakkan.

Segalanya adalah tidak mudah untuk beliau uruskan sendiri.Dari segi kesedarannya barangkali ada,tetapi bagaimana segala niat murni itu mahu dilaksanakan akan menjadi masalah kepada seseorang yang sedang memimpin masyarakat yang berbilang kaum dan berbagai ragam ini.Segalanya harus diambil kira.

Adapun sikap sesetengah pihak yang lebih cenderung untuk mengambil jalan kritik adalah mencurigakan.Walau memang diakui sudah semestinya begitu dalam sesebuah tamadun manusia,ada yang mengkritik dan dikritik.Sebagai seorang pemimpin,Pak Lah tidak dapat lari dari gejala kritik itu.Namun dari sudut pemikiran seorang ilmuan,ia tidak harus begitu.Malah pendekatan haruslah diambil dari sudut memperbaiki kelemahan dengan menegur pemimpin melalui saluran yang lebih berhemah.

Tidak ada lagi yang sukar pada hari ini kerana Perdana Menteri sendiri pernah beberapa kali mengesyorkan agar beliau ditegur dengan cara baik,tetapi mengapa peluang yang sebegini sering diabaikan oleh mereka yang suka mengkritik.Keikhlasan mereka boleh juga diragui.

Rentak berfikir

Ada kalanya amat susah untuk seseorang yang tidak berpentas seperti saya ini menentukan hala tuju sebenar dalam menentukan gaya dan rentak berfikir.Sekali sekala pemikiran akan berubah mengikut tempo pembacaan atau paparan media semasa.Pada ketika yang lain pula ia akan berubah mengikut pendapat dan hujah dari orang orang sekeliling.

Andai dilihat dari luar sudut,pasti orang lain akan menilai betapa saya adalah seseorang yang tidak konsisten dalam menentukan gaya dan corak berfikir.Atau dengan lain perkataan boleh lah diumpamakan 'seperti lalang' yang mudah dilentur mengikut angin yang datang dari arah yang berbeza.Mujur saya belum lagi menjadi seseorang yang sering menjadi perhatian ramai seperti ahli politik atau tokoh masyarakat yang disegani ramai.

Apapun keadaannya, saya masih lagi mampu untuk memaafkan diri kerana sering meletakkan diri dalam peringkat pengisian dan pembangunan minda serta jati diri.Saya memang belum menjadi apa apa selain seorang manusia yang sedang berkial kial mencari arah dan hala tuju dalam kehidupan.Namun begitu, saya sudah melihat rangka kepada pemikiran yang bakal saya bawa itu pada peringkat permulaanya barangkali.

Berbanding orang lain,perkembangan minda saya memang diakui lambat untuk berkembang.Apatah lagi bila dilihat kepada bilangan umur yang sudah semakin meningkat.Manakala taraf kehidupan sudah pun berubah.Sepatutnya saya sudah menjadi manusia yang sangat matang dalam membawa aspirasi diri ke dalam masyarakat sekeliling.

Sekalipun saya sering meletakkan diri sebaris dengan tokoh ilmuan yang lain tetapi usaha dan gerakkerja saya jauh lebih mundur berbanding mereka dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat.Bukannya tidak ada,tetapi usaha itu terlalu kecil berbanding apa yang sepatutnya saya boleh sumbangkan kepada mereka.Sebagai contoh terdekat ialah, dalam kerja kerja penulisan ini yang sering saje tergendala dan tidak berjalan dengan lancarnya mengikut jadual serta masa yang telah berlalu.

Mungkin saya melihat kerja kerja yang sebegini kurang mendatangkan hasil dan impak kepada masyarakat kerana telah tersimpul dalam pemikiran mengatakan bahawa tidak ramai yang mampu untuk sampai ke capaian blog ini,jadi saya merasa usaha itu seakan kurang berbaloi berbanding ruang lain yang lebih berkesan.

Persoalannya ialah dimanakah ruang yang dikatakan lebih baik itu?