Thursday, February 24, 2005

Merawat institusi sosial

Sebagai salah satu bahagian dari institusi tersebut, saya secara sedar sedang melihat bibit bibit atau sindrom yang sedang melanda,bahkan saya yakin ramai daripada mereka yang berada di sekeliling juga sedang merasakan peri bahaya akan ancaman dari virus tersebut.

Ramai pihak telahpun menyuarakan keresahan itu samada melalui sembang sembang kedai kopi,seminar,forum dan debat malah hingga ke parlimen sekalipun,namun permasalahan itu belum nampak akan mengendur dan mententeram hati setiap warga yang perihatin.Persoalannya,adakah masalah tersebut begitu liat dan kebal untuk pulih ceria seperti suasana yang sepatutnya..?

Jawapannya adalah tidak.Malah persoalan itu harus dilihat kepada punca utama yang mengakibatkan keadaan itu menjadi sedemikian rupa.Langkah langkah ke arah pemulihan itu haruslah dimulakan daripada akar umbi permasalahan dan dilakukan dengan lebih detil dan serius.

Hari ini setiap jiwa dari masyarakat malaysia sedang menghadapi masalah dan dalam dilema dua budaya yang bertentangan.Pertembungan antara dua norma agama dan gaya hidup glamour.Tidak dinafikan ramai di kalangan ibu bapa begitu perihatin dan sedar betapa pentingnya memberikan didikan agama yang secukupnya terhadap anak anak.Namun kesedaran dan usaha kearah itu tentu saje akan menghadapi halangan dan cabaran yang besar oleh gaya hidup masyarakat setempat pada hari ini.Pagi mereka akan ke sekolah mendengar dan memahami apa yang disajikan melalui pengajian agama,manakala sebelah petang dan malam pula mereka diasak dengan budaya yang berbeza daripada program televisyen dan sumber yang berbagai.

Fenomena itu bolehlah digambarkan seperti 'mandi dan kembali terjun bermain lumpur'.Hasilnya badan mereka akan sentiasa kotor dan tercemar.

Monday, February 14, 2005

That's what i want to say

Febuary telah sampai ke pertengahannya,manakala saya masih lagi belum memeriahkan blog ini dengan tulisan tulisan yang boleh mempamirkan idea dan pemikiran saya tentang kehidupan.

Kadang kadang waktu sering menjadi perkara yang saya boleh memilihnya sebagai alasan,tetapi sebenarnya saya tidak suka menggunakan alasan alasan tersebut kerana merasa apa yang ingin saya tuliskan di sini adalah jauh lebih berharga daripada sekadar memberikan alasan itu.

Antara perkara yang sedang bermain di fikiran saya sekarang ialah beberapa individu yang sedang memainkan peranan dalam mencorakkan isu dalam negara.Mereka itu boleh juga saya sebut sebagai ahli politik yang sering mendapat tempat dan perhatian oleh media negara serta bualan masyarakat di kedai kopi sebagaimana ianya adalah adat dan budaya yang sinonim dengan Masyarakat setempat.

Mereka itu tidak bukan selain Pak lah perdana menteri Malaysia yang sedang mendapat mandat,Najib tun Razak sebagai timbalannya dan Anwar Ibrahim yang bergerak di luar sebagai ketua barisan pembangkang.Selain itu bayangan bekas perdana menteri Mahathir Mohammad telah mula menonjol kembali sejak akhir akhir ini.

Ada banyak perkara yang ingin saya perkatakan di sini tentang mereka sebelum saya beralih kepada isu lain yang berkait dengannya..

Friday, February 04, 2005

Perihal bahasa

Dari kelmarin pemikiran saya masih lagi tersimpul dan berkisar pada isu bahasa.Samada akan terus menggunakan bahasa ibunda atau cuba menyampaikan maksud dengan menggunakan bahasa yang mungkin agak sukar untuk menyampaikan apa yang bermain di dalam minda.Saya menjadi tidak yakin pula andai terus menulis dalam bahasa ini,nescaya apa yang ingin saya sampaikan nanti tidak begitu merata sasaranya.

Tetapi saya tidak mempunyai banyak pilihan dalam maksud untuk menyampaikan apa yang berkisar dalam pemikiran,bahasa ibunda adalah alat yang paling mudah untuk meluahkan sesuatu setakat ini,sekalipun menyedari akan kekurangan efisyennya saya teruskan juga.

Barangkali ada kebijaksanaan yang tidak saya sedari di sebalik bahasa yang sedang saya gunakan ini.Apa yang jelas ialah saya tidak perlu menjadi orang lain untuk menyampaikan sesuatu.Saya sepatutnya menjadi lebih adil terhadap diri sendiri berbanding orang lain kerana andai bersusah payah dalam menyampaikan sesuatu,itu hanya akan membantut dan melambatkan usaha saya ke arah itu,hasilnya,buatlah sesuatu yang mudah dan mampu untuk dilakukan.

Sebenarnya ini adalah satu tugas dan boleh juga saya namakan sebagai tanggungjawab yang terpikul di bahu,saya harus menonjolkan satu budaya dan bahasa tersendiri di alam maya untuk tatapan dunia,samada mereka berjaya untuk memahami atau sekadar memerhati tanpa mengerti apa yang terpamir di halaman pc mereka;terserah...

Andai di kaji dari sudut geografi,rumpun MELAYU ini agak besar dan meluas jajahannya menyeliputi MALAYSIA,INDONESIA,BRUNEI,SINGAPURA,SELATAN THAI dan AFRIKA SELATAN.Jumlah mereka pasti sudah mencecah ke angka ratusan juta penduduk.Sudah memadai 10% dari jumlah tersebut akan sampai ke sini dan menghayati.

Selamat membaca..