Friday, December 07, 2007

Diplomasi sebelum perang

Momentum rakyat terhadap kehangatan pilihanraya kini sedang melalui plot yang agak tegang sekalipun belum pada tahap klimaks.Watak watak yang mengambil bahagian dalam menjayakan jalan cerita begitu rancak beraksi.Gendang perang seakan sudah mula dipalu.Masing masing dua angkatan BN dan BA sama sama saling menunjukkan kekuatan serta persediaan ke arah puncak pertembungan dalam pilihanraya.

Dalam suasana ramai yang masih meragukan ketelusan SPR mengendalikan pilihanraya,barisan pembangkang seolah olah tiada pilihan melainkan terus berusaha mengatur strategi.Sehingga semalam barisan alternatif yang terdiri daripada parti parti politik dan badan NGO melalui Anwar Ibrahim dari parti Keadilan telah memanggil sidang media bagi menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan isu isu yang berkait.Usaha usaha diplomasi ini dilihat sebagai 'berhemah' dalam menangani ketegangan yang makin memuncak sejak kebelakangan ini.

Persoalannya adakah Perdana Menteri sedia untuk menerima mereka untuk berbincang..? Kewibawaan Abdullah Badawi seolah olah sedang diuji samada beliau bersedia untuk mengotakan janji untuk 'mendengar' semua masalah rakyat tanpa melihat daripada pihak mana mereka itu datang.Besarlah harapan rakyat agar Perdana Menteri benar benar ingin menghayati setiap apa jua kata kata yang pernah dilontarkannya sebelum ini.

Sejak mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara beberapa tahun yang lalu,Abdullah dilihat begitu 'lunak' dan banyak membayangkan suasana 'harmoni' dalam ucapannya membuatkan rakyat rasa terharu seakan sinar yang bakal terpancar dalam sistem pemerintahan negara esoknya.

'Islam Hadhari','Damai abadi','memerangi rasuah','bekerja bersama saya' dan berbagai bagai lagi adalah antara kata lunak yang amat menyenangkan hati semua pihak.Tetapi sejak kebelakangan ini mengapa Abdullah dilihat menjadi sedikit 'liar' melanggar semua prinsip diri yang tergambar melalui kata kata yang pernah diungkapkannya itu.

Barangkali 'hasutan' disekelilingnya begitu kuat mengasak,tidak tahu ianya berpunca daripada 'manusia' ataupun 'jin',kerana kita semua sudah maklum akan dua unsur ini yang sering mengganggu anak Adam hingga ke hari kiamat kelak.

Sayugianya Abdullah harus sering datang ke kelantan berbimbingan tangan dengan Tok Guru Nik Aziz agar hati sentiasa terasa 'dingin dan harmoni' selalu.Atau mungkin Ustaz Asri yang berada jauh di perlis, 'berbisiklah' sesuatu kepada memanda agar kebenaran terpancar dihujung usaha.

Thursday, December 06, 2007

Anwar dan Dr Asri

Dulu sebelum Anwar masuk Umno,beliau terkenal sebagai seorang aktivis gerakan islam yang bergerak di bawah nama Abim.Kehebatannya memimpin gerakan itu telah membuatkan Mahathir terpesona untuk 'menggunakannya' ke dalam Umno tujuan untuk mengimbangi pengaruh Pas dan perjuangan Islam yang semakin mendapat perhatian rakyat pada waktu itu.

Bermulalah perjuangan Anwar dalam kerajaan dengan niat untuk 'membawa perubahan dari dalam'.Sepanjang tempoh berada dalam kerajaan, banyak juga gagasan gagasan baru yang diketengahkan oleh beliau, malah berjaya membawa seberapa ramai golongan muda yang berfikiran Islam untuk turut serta bersamanya.Usahanya itu sangat berjaya hingga membawa beliau berada di kedudukan orang no 2 dalam kerajaan yang akhirnya membawa fitnah kepada dirinya sendiri dengan peristiwa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh mentornya Mahathir Muhammad pada 2 sep 1998.

Penjara sembilan tahun sudah tentu banyak membawa pengajaran buat diri beliau.Harap tempoh itu cukup untuk dirinya 'bermuhasabah' tentang liku liku perjuangan yang harus dilalui.Kini diluar kerajaan beliau kelihatan lebih berhati hati dan dilihat lebih moderat.Barangkali sesuai dengan kedudukanya yang 'terpaksa' berdiri sebagai ketua barisan pembangkang.Itu sahaja pilihan yang ada baginya setelah 'suara suara' di dalam Umno begitu kuat menolaknya untuk masuk semula selepas era Mahathir.Hingga ke waktu ini peluang dan masa depan politiknya masih belum menentu kerana masih lagi belum menjadi ahli kepada mana mana parti politik (sekalipun Keadilan)hinggalah tamat tempoh larangan berpolitik oleh mahkamah terhadapnya april 2008.Ternyata peluangnya masih samar samar.

Hari ini bayang bayang yang pernah dirintis oleh Anwar kembali ke persada ruang bicara rakyat Malaysia.Dr Asri yang dulu lebih dikenali sebagai seorang penceramah yang digemari tiba tiba dilantik menjawat jawatan mufti Perlis yang terletak di utara tanah air.Beliau juga turut dikenali sebagai 'ustaz haraki' sebelum menjadi mufti dulu.Banyak pandangan yang bernas dan berani keluar dari pemikirannya yang kadang kadang mendatangkan sedikit kontroversi.

Kini setelah menjawat jawatan mufti Perlis,ceramahnya masih terus berjalan malah kelihatan banyak pula kenyataannya yang 'menyinggung' sesetengah ustaz ustaz yang berada dalam Pas.Lalu timbul tanda tanya dikalangan mereka,adakah Dr Asri telah berjaya 'dipancing' untuk menjadi 'alat' kerajaan dalam menghadapi Pas..?

Fenomena itu masih belum ketara.Yang pasti keperibadian antara Dr Asri dan Anwar adalah berbeza dari segi ilmunya.Namun dalam kehidupan ini manusia tidak lepas daripada menghadapi ujian.Hanya keikhlasan yang boleh membawa mereka ke matlamatnya yang sebenar.Sama samalah kita ikuti episod seterusnya..

Monday, December 03, 2007

Sistem penyampaian maklumat

Di dalam kepala saya masih lagi berfikir betapa usaha kita akan menjadi sia sia andai masih tidak menguasai sistem penyampaian maklumat kepada rakyat.Walau sebesar manapun isu yang tercetus pasti akan akhirnya berjaya dimanipulasi beritanya oleh media kerajaan.Masalah utamanya ialah rakyat tidak mendapat laporan yang betul.

Saya suka menamakan usaha kita dalam menyertai pilihanraya sebagai perang terhadap 'paksi kejahatan'.Memang diakui bahawa perjuangan menegakkan kebenaran itu adalah satu tugas yang amat berat malah memerlukan perancangan yang teliti serta usaha yang gigih dan berterusan.

Cuba lihat kembali kepada perjuangan Rasulullah SAW semasa membawa risalah tauhid dulu.Baginda walaubagaimanapun hanya bergantung kepada sistem penyampaian individu untuk memastikan risalah islam itu dapat diterima oleh kaumnya.

Dalam konteks kita sekarang adakah 'sunnah' perjuangan itu telah berjaya dipraktiskan oleh semua yang mengaku diri sebagai seorang pejuang.Sebenarnya kebijaksanaan dan suasana semasa membolehkan kita semua bergerak dengan lebih pantas dan berkesan lagi andai semua syarat syarat sunnah itu diikuti dengan jayanya.

Kejayaan kita harus dikoreksi kembali sesuai dengan apa yang telah dituntut oleh sunnah.Setiap orang harus menyediakan 'Abu Bakar,Omar,Osman dan Ali' mereka sendiri.Atau sekurang kurangnya mereka mengaplikasi sistem perniagaan MLM yang begitu popular dewasa ini dengan setiap seorang hanya perlu membawa 2 orang dibawahnya.Bayangkan dalam waktu yang singkat kita akan berjaya membina rangkaian yang ampuh lagi kukuh kedudukannya.

Fikir fikirkan dan bersedialah untuk satu evolusi yang baru ini..!