Saturday, January 31, 2009

Sedih kerana hanya mampu memerhati

Bagaimana kita menghayati kalimah:MUSLIM ITU BERSAUDARA..Tembaklah israel yang berada dalam diri anda..!

Turkish PM Erdogan Slams Shimon Peres For Israeli Killings And Walks Off Stage

lihatlah keberanian seorang pemimpin Islam..kami berbagga..

Medan dakwah terpampang di lima negeri

Adakah anda berdakwah..?bagaimana dan di mana..?Setelah kemenangan march 08 yang lalu,seharusnya usaha dakwah akan menjadi lebih mudah kerana sebelum ini kita sering mengeluh betapa sukarnya untuk berdakwah di bawah kekangan kerajaan UMNO tetapi tidak lagi sekarang.

Atau anda masih lagi berkira kira untuk mencari seribu lagi alasan agar kelemahan diri sendiri itu tidak begitu menonjol di mata seorang pengkritik.Seharusnya anda perlu malu pada diri sendiri sebagai seorang yang mengaku berjuang atas nama Islam.Anda ahli dan penyokong PAS..?jangan pandang ke belakang lagi dan bermulalah sebagaimana orang lain yang telah lama bermula.

Dimana kedudukan anda.?
kampung?
pekan?
daerah?
bandar?
kotaraya?
berniaga?
kerja sendiri?
pejabat?
sekolah?
universiti?
penulis?
tukang sapu?
atau ahli parlimen?
menteri besar?
presiden parti.?
atau sekadar pembancuh kopi..?
tidak kira di mana anda,
usaha harus digandakan sebelum 'musim tengkujuh' menghalang lagi.

Dilema dua kerjaya

Bolehkah dalam satu masa seseorang menjayakan dua misi yang berbeza..?satu, dia perlu memastikan ekonomi keluarga berada dalam keadaan stabil..dua,dia perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam tugas dakwah kepada masyarakat..

Dalam hal ini saya suka mengimbas kembali bagaimana Rasulullah SAW berjaya mengurus diri dalam memastikan tugas dakwah berjalan dengan lancar tanpa 'terjerat' dengan masalah ekonomi rumahtangga yang bakal memeningkan kepala seterusnya mengagalkan semua perancangan sedia ada.

Sebelum Rasulullah SAW bermula dengan usaha dakwah baginda telah berkecimpung dalam dunia perniagaan dan berjaya serta dikagumi ramai.Setelah usaha dakwah bermula baginda telah memberikan perhatian 100% kepadanya 'tanpa melalui' permasalahan ekonomi yang banyak menghantui pemikiran ramai aktivis dakwah pada hari ini.

Persoalannya,mengapa dan bagaimana mereka boleh terjerat dalam permasalahan yang begitu?justeru 'sunnah pengurusan diri' yang cemerlang pernah dilalui oleh Baginda haruslah dikupas dan dihadamkan kembali oleh semua lapisan pendakwah agar perjalanan tugas mereka berlangsung dengan jayanya insyaallah.

Thursday, January 22, 2009

Jalan berliku ke Seri Perdana

Apabila nama Pengawal Peribadi Dato’ Seri Najib bernama Musa Safri disebutkan di mahkamah oleh tertuduh pertama Chief Inspektor Azilah siapa mampu menerimapakai sumpah “wabillahi...” Dato Najib yang mengatakan beliau tidak pernah kenal siapa itu Altanttuya?

KAMAL AMIR MENULIS(MT)

TERDAPAT tiga isu sedang panas berlegar dalam landskap politik negara sejak berakhirnya pilihanraya kecil di Kuala Terangganu. Pertama adalah kisah Suruhanjaya Pencegah Rasuah mula membuka fail-fail dan melakukan siasatan dikalangan pimpinan Umno berhubung dakwaan “rasuah politik” di musim pemilihan peringkat bahagian serta pencalonan bagi merebut jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi dan pimpinan Bahagian.

Kedua semakin tersebarnya borang-borang yang hantar kepada badan-badan bukan kerajaan di seluruh negara meminta mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bagi agar imam besar mazhab Islam Hadhari terus dikekalkan sebagai Perdana Menteri tanpa ada sebarang tarikh penghujungnya.

Ketiga adalah dakwaan pelbagai pemimpin bahawa sekitar satu juta rakyat Malaysia bakal mengalami kehilangan sumber pendapatan apabila mereka bakal diberhentikan kesan rempuhan gelombang “tsunami” ekonomi yang semakin bergelora melanda negara.

Selain dari itu terdapat pula perbincangan di peringkat tertinggi khususnya Bank Negara mula melakukan pelbagai polisi bagi mengekang kemelsetan ekonomi yang kian ketara melanda malahan dari pelbagai pengumuman kerajaan jelas menampakkan ketidakmampuan pemimpin untuk menyorok realiti sebenar. (lihat kenyataan beberapa orang peneraju utama di Bursa Saham Malaysia, presiden persatuan penjual kereta bumiputra yang mengangarkan penurunan sejumlah 12% jualan kereta baru).

Melihat dari kesemua perkembangan tersebut ternyata semakin “haru biru” dan serba merencam lagi situasi politik tanah air. Namun begitu apakah sikap pimpinan yang berada di anjung kuasa di Seri Perdana? Apakah masih meneruskan sindrom penafian demi penafian?Sejak awal-awal lagi saat Umno mula mengadakan persidangan tahunan peringkat cawangan dan bahagian mantan Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan berlakunya politik wang.

Malahan laporan kepada badan pencegah rasuah telahpun dibuat oleh Datuk Mazlan Harun (mantan exco pergerakan pemuda Umno era Anwar Ibrahim) bersama Datuk Kadar Shah anak kepada mantan Pengerusi Tetap Umno Malaysia.Malangnya kesemua laporan yang dikemukan bukan hanya oleh ketiga-tiga pemimpin tersebut, malahan beberapa aduan kepada Pengerusi dan jawatankuasa Disiplin parti juga bagaikan tidak diendahkan kesan adanya politik kroni, korupsi dan nepotisma.

Akhirnya percaturan pemilihan Umno hingga membolehkan Dato’ Seri Najib memperolehi pencalonan hampir seratus peratus.Disamping itu para pencatur serta pencacai politik di rumah Umno benar-benar memperlihatkan sikap “pelahap” mereka menagih laba samada wang tunai ataupun pelbagai bentuk projek dari pimpinan tertinggi Umno sebagai komoditi pasaran politik.

Umno diserang dengan budaya korupsi cukup parah di musim pemilihan tersebut apabila para parasit politik bagaikan dilindungi oleh orang tertentu.Dan kini asatelah fail mula di buka apakah mampu para parasit serta pemimpin yang mengamalkan korupsi lena tidurnya? Perlu diingat, dalam pentafsiran jenayah korupsi ia tidak hanya dikenakan keatas penerima, malahan orang yang memberi juga turut tidak terlepas untuk berehat disebalik jeriji besi.

Begitu juga dengan penyebaran borang-borang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta sokongan atau pendirian mereka agar tempoh pelan peralihan kuasa dari Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Najib Tun Razak ditangguhkan untuk menjadi semkin samar.Andainya benar telahan saya, kemungkinan besar Abdullah Ahmad Badawi tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Disamping itu membaca laporan dari perbicaraan pembunuhan model monggel dari Mongolia, Altanttuya Sheribu sepanjang minggu lalu mula menampakkan bagai ada kebenaran Pejabat Dato Seri Najib memang kenal siapa Altanttuya Sheribu sedangkan berkali-kali calon Perdana Menteri itu mengatakan beliau tidak pernah kenal siapa Altanttuya. (lihat kenyataannya di musim pilihanraya kecil Ijok dan Permatang Pauh).

Apabila nama Pengawal Peribadi Dato’ Seri Najib bernama Musa Safri disebutkan di mahkamah oleh tertuduh pertama Chief Inspektor Azilah siapa mampu menerimapakai sumpah “wabillahi...” Dato Najib yang mengatakan beliau tidak pernah kenal siapa itu Altanttuya?Mungkinkah dengan ujudnya Suruhanjaya Pencegah Rasuah dan Suruhanjaya Badan Kehakiman yang diperkenalkan oleh Abdullah Ahmad Badawi bakal membuka penutup tin yang penuh dengan “cacing” dan kebobrokkan politik pemimpin?

Dalam maksud lain, kemungkinan besar segala-galanya akan terdedah sedikit masa lagi. Dan seandainya ia benar-benar berlaku apakah Dato’ Seri Mohd Najib masih punya kesempatan untuk bercanda di anjung Seri Perdana lagi atau sebaliknya. Biar apapun yang pasti saya merasakan seperti ada “grand design” atau perancangan besar sedang diatur oleh orang keliling Perdana Menteri. Wallahualam.....!

Begitu juga kesan keputusan pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang baru lalu, ia bukanlah situasi positif bagi kelancaran politik Najib kerana sebagai teraju utama di musim pilihanraya Umum serta dua pilihanraya kecil (Permatang Pauh dan Kuala Terengganu) ternyata rakyat tetap menolaknya bulat-bulat.Sebagai pemimpin atau pemain utama di ketiga – tiga pilihanraya tersebut beliau gagal dan untuk itu tidak mungkin Abdullah Ahmad Badawi merelakan peralihan kuasa berlaku darinya kepada Najib kerana “bencana dan malapetaka” besar pasti akan melanda Umno andainya ia diterajui oleh Najib.

Dalam erti kata lain Perdana Menteri harus mempastikan agar kestabilan Barisan Nasional terus terjamin dan beliau tidak boleh melepaskannya sebegitu mudah.Abdullah Ahmad Badawi harus mencontohi Dr. Mahathir Mohamed yang melepaskan jawatan saat Barisan Nasional berada dikedudukan kukuh hingga membolehkannya memenangni pilihanraya umum 2004 sebegitu besar.

Bagaimana mungkin beliau boleh melepaskannya kepada Najib dengan seribu satu masaalah?Ledakan “Tsunami ekonomi” hingga memaksa hampir satu juta rakyat kehilangan sumber pendapatan juga merupakan tuntutan maha penting bagi Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak bersikap “lepas tangan”. Sebagai seorang pemimpin kebertanggungjawapan harus ada padanya. Sila lihat kenyataan Dr. Mahathir satu ketika dahulu saat negara mengalami krisis matawang yang merudumkan ekonomi di mana beliau menyatakan penyerahan atau peralihan kuasa akan dilakukan olehnya apabila situasi ekonomi kembali pulih.

Dengan ledakan ekonomi yang cukup “mengharu birukan” serta meletakkan negara berada dalam situasi sempang peranang, dengan ujudnya sinario politik merencam menghala kebatang tubuh Najib, dengan ujudnya pelbagai persepsi negatif rakyat terhadap Najib terutama berhubung kes perbekalan di Kementerian Pertahanan dan perbicaraan pembunuhan Altantuya Sharibu tentunya bukan “waktu molek” atau situasi tepat bagi Abdullah Ahmad Badawi berundur diri. Sayonara Najibbbbbb...

Monday, January 19, 2009

Menang kawasan pilihanraya,komitmen tetap sama

Siapa yang tidak gembira dengan berita kemenangan..?sebagaimana tsunami march 2008,kemenangan kali ini juga mengilhamkan satu kekuatan buat jiwa yang berjuang.Sekalipun berada jauh dari suasana kemenangan itu saya sebenarnya masih sibuk dengan beban kemenangan dari peperangan yang lalu.Tentunya visi dalam mengisi kemenangan itu adalah sesuatu yang begitu membebankan bagi saya yang sedang menghargai tanggungjawab.

Selangor adalah antara negeri yang berada dalam jajahan tanggungjawab.Tinggalkan sebentar Pandan yang belum dikenalpasti ruang untuk saya bertapak menyumbang sesuatu,kerana platform yang tersedia masih belum mesra dengan diri sendiri lantaran rasa rendah diri yang menebal barangkali.Sekalipun menyedari betapa sikap begitu tidak harus ada pada diri seorang pendakwah yang ingin berjasa.

Shah Alam pula bukanlah laman tempat bermain seperti waktu kecil dulu,cuma ruang yang sedikit dihampar oleh ALLAH di hadapan mata untuk dihadam sebagai mehnah harian.

Wednesday, January 14, 2009

Hudud Gaza dan Kuala Terengganu

Tiga isu ini adalah antara yang paling banyak diperkatakan oleh umum ketika ini,semuanya mengulas tentang rasa resah hati dan debar yang menanti.Yang paling dekat dan mampu dicapai oleh tangan hanyalah Kuala Terengganu.Manakala yang lain masih lagi berlegar dalam ruang bicara yang entah bila akan sampai kepada nyata.

Berbaloikah usaha kita..?

Sokongan dari kejauhan

Kali ini saya gagal lagi untuk turut serta bersama jentera kempen.Tidak di Permatang Pauh dan tidak juga di Kuala Terengganu.Yang ada hanya doa dan harapan dari kejauhan seorang hamba.Mungkin aktiviti saya dalam parti masih lagi terlalu mentah dan mendatar.Hanya terlibat di sebalik tabir bantu menyumbang ke arah pembentukan jenerasi yang memahami Al-Quran sebagai dustur hidup insyaallah.Sesekali hadir program tarbiah haraki di Pandan juga dirasakan sudah membantu,sebelum saya merasa betul betul selesa dan memahami selok belok budaya berjamaah di sana.

Tambah lagi sekarang sudah terlibat dengan pendidikan secara formal,saya harus menumpukan lebih banyak masa di sekolah bersama pelajar berbanding orang lain yang berhadapan dengan pengundi.Apapun peranan kita tetap ada dalam menyumbang ke arah terbinanya masyarakat yang mengabdikan diri kepada ALLAH.

Friday, January 09, 2009

Sekolah Integrasi As-Syakirin

Hari ini genap seminggu saya kembali ke sekolah menemui anak anak remaja yang saya cintai sejak dulu.Ada banyak cerita yang ingin saya coretkan di sini tetapi belum ada kesempatan untuk kesemuanya.Sebentar lagi saya akan bertolak ke Temerloh untuk menemui bonda yang baru pulang dari mengerjakan haji di Mekah.

Sejak dulu saya tercari cari platform yang sebegini,alhamdulillah ALLAH telah tunaikan hajat dan permintaan saya agar boleh menyumbang kepada agamanya setakat yang termampu sebelum nafas tersekat di hujung nyawa.

Integrasi As-Syakirin yang terletak di sebelah stadium Shah Alam itu merangkumi pelajar sekolah rendah dan menengah.Persembahan baru bermula..

Sunday, January 04, 2009

Polimik tentang Hudud

Oleh eratimur

"Marilah kita sama-sama berdoa, ‘Ya Allah, yang maha berkuasa keatas tiap-tiap sesuatu, yang kami ini dalam genggamanMu, jadikan kami sebagai hamba-hambaMu yang bernaung dibawah pemimpin kebenaran. Tunjukanlah kepada kami yang benar itu adalah benar. Jadikan kami dari kalangan hamba-hambaMu yang berada dalam kebenaran yang hakiki. Berilah kepada kami kekuatan untuk mempertahankan serta memperjuangkan kebenaran.’

Kali ini saya mulakan dengan doa mengharapkan agar Allah swt campur tangan dalam semua urusan hidup kita dan mengatasi berbagai kerenah yang berlaku dalam masyarakat Islam. Saya juga ingin mengingatkan kepada mereka yang bergelar pamimpin khususunya pemimpin politik, tidak mustahil suatu masa nanti masyarakat umum akan menjadi bertambah meluat serta muak terhadap para pemimpin politik. Ini kerana melihat kepada telatah dan gelagat pemimpin politik yang tiada noktah akhir untuk berdamai. Setiap hari ada saja isu yang menjadi modal untuk bertelagah.

Cuba kita lihat contoh negara negara yang sering berkrisis seperti jiran kita iaitu Thailand dan beberapa negara Afrika seperti Zimbabwe, Sudan, Congo dan yang terbaru Guinea. Berkrisis, bertelagah, bergaduh, bermusuh dan akhirnya berperang. Sama juga denga apa yang berlaku di Palestin, mereka sedang berhadapan dengan regim Zionis, dalam waktu yang sama mereka berkrisis sesama sendiri.

Umpamanya kita lihat Thailand, bila masanya untuk memikirkan masalah rakyat dan membangunkan negara. Lantaran memikirkan kepentingan diri maka masing-masing saling jatuh menjatuhkan yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan. Bahkan lebih banyak merugikan negara dan rakyat. Rakyat ramai membuang masa berdemonstrasi untuk memenuhi selera beberapa kerat pemimpin. Pemimpin yang ada dijatuhkan, naik pula pemimpin baru yang belum pun sempat membuat dasar kerajaannya, sudah dijatukan. Pemimpin baru naik pun senasib juga, belum berbuat apa-apa dasar sudah dijatuhkan pula. Kalau naik pula pemimpin yang baru bakal menghadapi situasi yang sama.

Berlaku demikian adalah angkara pemimpin yang membawa bersama rakyat untuk melakukan perkara-perkara yang tiada faedah, iaitu berdemonstrasi untuk saling jatuh menjatuh. Yang untung ialah para pemimpin itu sendiri yang sudah sedia kaya raya dan senang lenang. Rakyat kekal menggigit jari.

Buat masa ini mungkin situasi begitu tidak berlaku dinegara kita, tetapi jangan pula anggap mustahil akan berlaku. Ini kerana melihatkan dikalangan pemimpin politik seringkali mencetuskan pertelingkahan terhadap sesuatu isu yang kadang-kadang tidak sepatutnya di jadikan polimikan.

Contoh terkini ialah persoalam Hudud. Hudud adalah hukum Allah swt. Hudud datangnya dari Allah swt. Hudud adalah ketetapan dari Allah swt dan hak mutlak milik Allah swt. Apabila orang politik memperkatakan mengenai Hudud, ianya menjadi panas. PAS mahu melaksanakannya. UMNO pula kurang bersetuju. Bila orang politik memperkatakan mengenai Hudud, lazimnya menjadi panas. Pihak yang mempertahankan Hudud dengan secara panas, manakala yang kurang bersetuju pun dengan secara panas juga.

Saya bukan mahu membahaskan isu ini kerana Hudud memerlukan ruang yang panjang, sesuai dibahaskan dalam satu buku. Saya hanya mahu mengingatkan bahawa persoalan Hudud ini membabitkan hukum hakam Allah swt. Hukum hakam Allah swt bukan sesuatu yang boleh dipolimik secara terbuka dan melibatkan berbagai pihak yang tidak berkenaan. Akibatnya akan semakin mengelirukan masyarakat terhadap hukum hakam Allah itu.

Bermula dari polimik antara pemimpin politik yang berseteru, akhirnya membawa kepada pro dan kontra dalam masyarakt umum. Kadang- kala masyarakat umum bukan memahami persoalan sebenar. Mereka hanya cenderung kepada pemimpin parti masing-masing dan fahaman politik yang dianuti. Bukan berpegang kepada pendirian agama sebenar. Bolehkah hukum hakam Allah swt dijadikan bahan pro dan kontra? Bila keadaan ini terjadi siapa yang mahu bertanggung jawab sehingga membawa pertelagahan pula dikalangan masyarakat umum terhadap Hudud itu.

Kita menjadi berseteru kerana hukum hakam Allah swt yang sepatutmya diterima bersama. Kita sesama umat Islam seringkali mencari titik perbezaan dan diperbesarkan hingga melibatkan masyarakat awam. Sepatutnya dalam mana-mana persoalan hukum hakam Allah swt kita mencari titik persamaan dan saling berkongsi ilmu serta kefahaman. Sikap umat Islam yang terbaik dalam perkara berkaitan ajaran Islam ialah:

1. Berpegang kepada Aqidah dan keyakinan yang sama.
2. Apa saja perintah wajib dari Allah swt diterima sebagai wajib, jangan dipertikaikan. Sama-sama pula mendokong serta laksanakan secara bersama.
3. Apa saja yang ditegah atau dilarang atau haram oleh Allah swt, hendaklah diterima sebagai haram, dan jangan berdolak dalik. Sama-sama menjauhinya, membenteras dan menghapuskannya.
4. Semua perkara makruf hendaklah saling bahu membahu dalam menegakan yang makruf tersebut, dan sama-sama berkongsi manfaatnya.
5. Terhadap perkara mungkar pula sama-sama membenteraskannya.
6. Kalau suatu aspek itu kedudukannya khilafiyah maka sama-sama menjaga adab khilaf dengan menghormati pegangan masing-masing tanpa perlu mempengaruhi atau mempertikaikan. Bahkan kalau bijak dalam menangani perkara khilaf atau berbeza pendapat ini amat besar rahmat dan kebaikannya.

Namun demikian, kebiasaannya keadaan inilah yang paling payah terjadi kepada orang politik. Biasanya keuntungan politik jauh lebih diutamakan berbanding dengan keutamaan agama itu sendiri. Sekarang ini dalam persoalan Hudud yang PAS ketengahkan itu, UMNO kurang setuju. Bila UMNO ketengahkan Islam Hadhari, PAS pula kurang setuju. Sedangkan tiada apa yang tidak kena dengan Islam Hadhari tersebut. Saling mempertikaikan itu adalah kerana kedudukan kedua pihak sebagai seteru politik.

Berbalik kepada Hudud, DAP pun turut tumpang semangkuk. Hudud adalah persoalan agama Islam, ianya adalah hukum hakam Allah swt. Apa hak DAP untu campur tangan? Dari satu segi, DAP tidak boleh di persalahkan. Salahnya ialah pemimpin politik orang Islam sendiri. Apabila Hudud di polimikan oleh orang politik dan secara politik maka DAP anggap Hudud bukan persoalan agama Islam. DAP mungkin beranggapan seolah-olah Hudud hanyalah sebahagian daripada isu politik. Tidak hairanlah maka DAP berani bersuara bahkan sampai keperingkat mencabar yang dikira sudah melampau dan keterlaluan.

Apa yang kita boleh buat? Ini semua adalah angkara kelemahan kita sendiri yang meletakkan Hudud sebagai sebahagian isu politik.Hudud bukan bahan perbahasan dipentas terbuka! Ulama serta pemikir Islam terutama dikalangan yang benar-benar berkecuali sewajarnya memperkatakan Hudud secara dingin, teliti, berhalus, berhati-hati dengan penuh taqwa kepada Allah swt.

Semoga para ulama dan pemikir Islam dapat menutup mulut DAP agar tidak bercakap mengenai persoalan agama Islam ini. Dan sekaligus mudah-mudahan para ulama dan pemikir Islam turut mendinginkan suhu orang politik terhadap hukum hakam Allah swt ini. Andainya ini dapat dilakukan oleh para ulama dan pemikir Islam, nescaya dapat sedikit sebanyak mengubah tanggapan masyarakat terhadap ulama. Selama ini masyarakat prejudis terhadap ulama dan mengganggap ulama hanya nampak kepada persoalan seperti pondan, rokok, pengkid, yoga. Sebaliknya membisu terhadap persoalan seperti Hudud.

Dulu pernah diterbitkan sebuah buku berjudul, ‘Hudud Dan Pelaksanaannya,’ Oleh Hj. Ashaari Muhammad, disusun oleh Khadijah Aam. Buku tersebut amat elok dibaca dan difahami oleh seluruh masyarakat termasuk DAP. Kalau semua pihak membaca dan memahami buku tersebut dengan segala pengertian, huraian, falsafah, hikmah Hudud, maka bukan sahaja umat Islam bahkan DAP pun akan turut jatuh hati dengan ajaran Islam termasuk Hudud. Sayangnya buku tersebut diharamkan secara pakej bersama fatwa haramnya Arqam.

Terlintas juga dihati saya mengapa buku yang didalamnya ayat Al Quran dan hadis bagaimana boleh diharamkan. Namun lintasan itu pada kerana fatwa tidak boleh dipertikaikan dan Majlis Fatwa tidak boleh dicabar. Namun kalau atas nama KDN mengambil inisiatif menjadikan buku tersebut sebagai bahan bacaan dikalangan pemimpin politik, saya yakin akan menurunkan suhu siapa saja yang mahu bercakap persoalan Hudud."

Amanat Perjuangan

Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang

"Jadi, peliharalah hati supaya ikhlas kerana Allah SWT. PAS meletakkan Islam dalam matlamat dan asas. PAS tidak menjanjikan kebendaan kepada petugas-petugas PAS"


Firman Allah SWT dalam surah As-Saff ayat 1-4; " "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."

Dari ayat di atas, Allah menurunkan ayat ini bermula dengan sebab yang berlaku di kalangan para sahabat r.a sebelum diwajibkan perintah berjihad. Lalu mereka bercakap dgn penuh semangat, "bilalah lagi kita hendak berjihad. Sekiranya Allah mewajibkan jihad, kami akan melibatkan diri untuk buat apa sahaja."

Apabila Allah swt menurunkan ayat mewajibkan jihad, rupa-rupanya jihad ini bukan sahaja satu kewajipan, tetapi ianya penuh dengan cubaan dalam diri seseorang. Samada jihad di medan perang atau jihad di medan pilihanraya, berdakwah, ianya penuh dengn ujian dan cubaan. Merek yang berperang di Gaza, tidak putus-putus dihujani oleh roket dan peluru.

Sehingga kini sudah hampir 400 orang mati syahid dan 1000 orang yang cedere.Setelah mereka dikepung beberapa bulan, mereka hadapai ujian dengan penuh semangat. Ada orang yang tahan dengan ujian kelaparan, kesusahan dan kesakitan. Makin sakit, makin lapar, makin ditentang oleh musuh, maka makin meninggi semangatnya.

Ada yang tidak tahan dengan ujian-ujian ini, lalu mereka berundur. Kadang-kadang, pejuang Islam ini diuji dengan cara menyedapkan, mengembirakan dan ujian perasaan yang ada di dalam hati. Kadangkala ada yang tidak tahan menghadapi ujian di dalam hati ini. Oleh itu, janganlah bercakap besar. Ini kerana akan tersungkur di tengah jalan.

Perjuangan Islam, merupakan satu perjuangan yang tidak nampak akan upah atau balasannya. Upah dan balasan ini adalah perkara ghaib. Ia janji dari Allah swt. Firman Allah swt, " Kalaulah sekiranya perjalanan perjuangan Islam itu merupakan benda yang dekat, yang boleh dicapai atau diambil dgn mudah, dan perjalanan yang dekat yang diketahui beberapa hari akan menang, nescaya ramailah yg ikutmu wahai Muhammad." Tetapi perjuangn ini jauh dan banyak kesulitan-kesulitan dan kepayahan-kepayahan.

Yang paling sulit ialah tekanan dalam jiwa dan hati yang sering kali di was-waskan oleh syaitan yang ghaib di kalangan jin dan sebagainya yang mengalir dalam darah kita. Dan juga was-was ini datangnya dari syaitan-syaitan di kalangan manusia itu sendiri.

Bisikan ini merupakan bisikan keraguan bukan hanya berlaku dalam solat tetapi juga ketika berjihad dalam perjuangan. Jadi, peliharalah hati supaya ikhlas kerana Allah swt. PAS meletakkan Islam dalam matlamat dan asas. PAS Tidak menjanjikan kebendaan kepada petugas-petugas PAS.

Presiden mengingatkan kepada orang ramai yang hadir, siapa yang hadir ke cemarah malam ini adalah untuk mendengar nama calon, sama ada menyokong calon atau tidak, ia tidak ada pahala. Tidak ada fadhilat dan kelebihan. Tetapi sekiranya datang ke majlis ceramah itu untuk mendengar arahan dan panduan di dalam perjuangan menegakkan Islam yang bakal diamalkan, maka ia berada di dalam majlis ilmu, dan malaikat bersama-sama. Dan juga mereka ini berada di medan jihad yang ada fadhilat yg besar yang telah dijanjikan oleh Allah.

Oleh kerana perjuangan ini banyak dengan cabaran, bukan hanya berdepan dengan Umno atau Barisan Nasional tetapi berhadapan degan satu kerajaan yang berkuasa di peringkat pusat dan negeri. Dimana kerajaan ini mendapat sokongan dari pelbagai kumpulan yang boleh memberi dan mendapat sumbangan apa sahaja. Jangan sesekali menganggap ini merupakan satu perjuangan yang kecil walaupun ianya pilihanraya kecil, tetapi pada cabarannya sanggat besar.

Oleh itu, ingatlah peringatan yang diberikan oleh Nabi s.a.w kepada golongan Ansar, inilah asas kepada perjuangan Islam yg mesti difahami supaya mendapat fadhilat dan pertolongan dari Allah swt. Mereka yang sanggup memikul tanggungjawab yang disebut di dalam ucapan Rasulullah ini,mereka merupakan orang yang sanggup menyahut seruan Allah dalam Al-Quran " Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dalam menghadapi penyakit-penyakit yang ada dalam diri kamu sendiri, dan bersabarlah kamu dalam menghadapi musuh-musuh kamu dan beradalah kamu di tempat dimana kamu ditugaskan dan bertakwa kepada Allah supaya kamu dapat kemenangan.

Ia bukan kemenangan percuma tapi bersyarat
Inilah syarat kemenangan yang diletakkan oleh Allah swt. Ianya bukan kemenangan percuma tetapi kemenangan yang bersyarat."Sekiranya kamu menolong agama Allah, nescaya Allah menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu." Menolong dan bekerja dengan hati yang ikhlas. Bagi menegakkan agama Allah dengan ikhlas ini, maka Nabi s.a.w mengingatkan para sahabat di kalangan Ansar dengan satu perjanjian setia ketika hendak melakukan hijrah.

Hijrah merupakan satu kemenangan yang dberikan oleh Allah yang menjadi titik noktah ,yang merupakan satu perubahan yang besar dalam sejarah manusia. Siapa yang melibatkan diri dengan hijrah dan menunaikan perkara yang di sebut oleh Nabi s.a.w, "Kamu berjanji untuk mentaati perintah aku di masa rajin, dimasa malas.

Berjanji untuk beri belanja semasa senang atau susah. Kamu berjanji menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kamu berjanji untuk bangun mengatakan yang benar dan tidak peduli kepada orang mencela dan berjanji untuk menolong aku yakni Islam. Apabila tiba di madinah, hadapi cabaran-cabarannya sebagaimana kamu pertahankan harta kamu, isteri kamu dan anak kamu. Allah menjanjikan syurga untuk kamu."

Ucapan ini bukan hanya catitan sejara semata-mata, tetapi ia merupakan rukun dan tiang kepada pendokong perjuangan Islam supaya mereka mendapat pertolongan dan keredhaan Allah.

Pertama, Mentaati kepada Allah s.w.t. Mentaati perintah semasa senang dan susah. Dalam setiap keadaan sama ada setuju atau tidak setuju, hendaklah mentaati arahan pimpinan. Bukan melihat kepada siapakah calon yang akan diletakkan nanti. "Kami dengar dan kami taat". Inilah yang Allah hendak membezakan perjuangan yang hak dan batil.

Kedua, sanggup menyumbangkan harta sama ada senang atau susah. Sekiranya tidak ada kewangan, sumbanglah dari segi fikiran, doa dan tenaga. Tidak kira apa sahaja sumbangan. PAS bukan perjuangan yang mengharapkan upah. Allah mengizinkan upah. Tetapi PAS tidak meletakkan upah sebagai matlamat. Tetapi upah untuk menguatkan tenaga dengan makanan demi menjalankan gerak kerja Islam. Sekiranya upah diletakkan satu matlamat, maka tidak ada beza dengan pihak lawan.

Apabila kita meletakkan harga diri kepada keikhlasan, Allah akan tambah pertolongan dari NYA untuk memberi kemenangan kepada PAS. Ia merupakan satu hakikat dimana perjuangan menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran ialah mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah. Calon yang menang menjadi wakil rakyat untuk bersuara di parlimen. Membentuk akhlak dan menegakkan syariat Islam. Jihad yang paling afdhal ialah sanggup bercakap benar di hadapan kerajaan yang zalim. Ini merupakan hadith sohih.

Kerja yang dilakukan dalam pilihanraya dan inginkan kemenangan merupakan satu perkara yang sangat penting. Jangan peduli kepada orang mencela kerana dengan mendapat celaan merupakan satu pahala. "Demi sesungguhnya jika kamu dapat menarik seorang untuk mendapat hidayah Allah bersama Islam, ia merupakan lebih mahal daripada kenderaan yang paling mahal harganya." Pahala akan berpanjangan walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia.

Zaman sekarang seperti berpegang agama ibarat berpegang bara api. Semua amalan ada feqah. Berpolitik pun ada feqahnya yakni faham ajaran Islam yang berkait dengan kerja yang kita buat.
Hadapilah kerja dengan ikhlas supaya kita mendapat pertolongan dan keredhaan Allah. Allah itu Maha Besar, tidak ada yang lebih besar dari Allah s.w.t samada Barisan Nasional atau kuasa-kuasa besar dunia yang lain. - azm (Hrkh)