Sunday, March 30, 2008

Langkah Anwar ke arus perdana

Sehingga saat ini Anwar Ibrahim dikatakan telah memperolehi kesepakatan dengan ahli-ahli dewan seramai 35 orang untuk menambah bilangan menjadi 117 kerusi sebagai usaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional melalui pakatan undi tidak percaya.

KAMAL AMIR MENULIS

JIKA tiada apa –apa halangan atau aral mendatang, kesemua 222 orang ahli Parlimen (Dewan Rakyat) bakal mengangkat sumpah sebagai ahli dewan pada 28 April 2008. Rakyat keseluruhannya tertunggu-tunggu apakah bakal berlaku kejutan atau gelombang Tsunami kedua bakal tercetus.Perkiraan kerusi Parlimen memperlihatkan Barisan Alternatif ( Keadilan, Pas dan Dap) berjaya menafikan majoriti dua per tiga dengan sejumlah 82 orang calon dari parti pembangkang berjaya memenangi pilihanraya umum 8 Mac lalu sementara Barisan Nasional pula sekadar mampu bertahan 180 kerusi sahaja.

“Pasar politik” di sekitar Kuala Lumpur semakin rancak memperkatakan bakal berlaku “lompat melompat” di kalangan wakil-wakil dari Barisan Nasional di mana ada pula “sosek-sosek” menyebut satu pertemuan telah diadakan antara Anwar Ibrahim dan pimpinan Barisan Nasional Sabah bertempat di Perth , dan Melbourne, Australia.Kalangan penganalisa “masa hadapan politik” pula turut berlumba-lumba membuat pelbagai andaian berhubung isu undi tidak percaya terhadap Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang bakal membuka ruang untuk parti Barisan Alternatif membentuk kerajaan baru... khabarnya!!!Pesanan ringkas sms kian bertali arus menyatakan kesan pukulan maut undi tidak percaya itu menjadikan dengan sendirinya imam besar mazhab Hadhari @ PM Malaysia terpaksa meletak jawatan bagi membolehkan Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Perdana Menteri baru.Untuk memudahkan usul undi tidak percaya dapat dibawa oleh Ketua Pembangkang, khabarnya sebelum majlis angkat sumpah ahli Dewan Rakyat pada 28 April 2008, jawatan Speaker ( Yang Dipertua Dewan Rakyat ) bakal menyaksikan datangnya dari kalangan pimpinan parti pembangkang serta tidak lagi didominasikan oleh parti pemerintah.

Sehingga saat ini Anwar Ibrahim dikatakan telah memperolehi kesepakatan dengan ahli-ahli dewan seramai 35 orang untuk menambah bilangan menjadi 117 kerusi sebagai usaha menumbangkan kerajaan Barisan Nasional melalui pakatan undi tidak percaya.Kesemua 35 orang ahli Parlimen itu datangnya dari Barisan Nasional yang begitu kecewa oleh kebobrokkan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi mentadbir negara di mana 17 kerusi merupakan wakil dari Sabah, 9 kerusi pula dari Sarawak sementara Semenanjung sejumlah 9 kerusi.Perletakan jawatan tiga orang Timbalan Menteri merupakan isyarat awal bakal tercetusnya gelombang Tsunami kedua itu dan sebagai mesej kepada Abdullah untuk segera berundur. Ketiga-tiga mereka adalah Datuk Hanifah Aman dari Sabah, Datuk Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (Jerantut, Pahang) dan terbaru Datuk Ghafur Salleh juga dari Sabah.Sementara itu “gossip politik” pula semakin kencang menyatakan dua orang Menteri Penuh dari Sabah juga bakal mengikut jejak Datuk Hanifah Aman dan Ghafur Salleh mengosongkan jawatan menteri kerana tidak lagi bersedia menjadi sidang wazir jemaah menteri kabinet Abdullah Ahmad Badawi.Seorang Timbalan Menteri dari Sarawak saat ini dikatakan sedang menimbang untuk menulis surat perletakan jawatan sebagai tanda protes terhadap kerajaan tiga beranak yang kian celaru dan gagal menjelmakan yakin rakyat disamping ujudnya pergeseran sesama sendiri .

Menganalisa dari tiga kejadian Timbalan Menteri meletak jawatan sudah cukup memberi tamparan paling hebat kepada kerajaan Abdullah Ahmad Badawi yang masih meneruskan pencarian talian hayat politiknya. Malahan sejak mencapai kemerdekaan, belum pernah terjadi insiden sedemikian cukup mengaibkan sertaamat memalukan.Bagaimana pula jadinya di Sarawak nanti apabila ada pula dua tiga orang Menteri beserta Timbalan Menteri turut mengambil keputusan yang sama. Mampukah Abdullah untuk merasa yakin dirinya masih diperlukan berada di anjung kuasa Seri Perdana? Dapatkah Datuk Seri Najib Tun Razak terus mengambil risiko menyokong Perdana Menteri agar dirinya di lihat sebegitu setia walhal “nasi sudah berada di atas ribanya.

”Terlalu banyak cerita dan gossip berlegar di pasar politik disebarkan oleh kalangan ahli Umno, penganalisa dan peramal masadepan pasaran kuasa berhubung pelbagai kisah menarik dianjung Seri Perdana. Biarpun Datuk Seri Najib masih meneruskan lontaran lafaz taat setia tidak berbelah bagi kepada Abdullah, namun terjelma juga beberpa cerita disebalik tabir.Khabarnya semasa menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno kelmarin, biarpun Abdullah berserta dua tiga orang pencacainya seperti Muhamad Hj. Mohd Taib dan Tengku Adnan Mansuri mahu agar pemilihan jawatan dalam parti ditangguh ketahun 2009, namun tempelak Najib supaya proses demokrasi diterjemahkan sepenuhnya mendapat reaksi cukup hebat dari orang keliling Perdana Menteri.Sudah ada cakap-cakap dan desas desus kononnya Abdullah Ahmad Badawi semakin hilang yakin terhadap kesetiaan Datuk Seri Najib.

Sebagai reaksi kepada kejadian tersebut sudah ada percubaan dari kalangan orang keliling mencari pengganti yang benar-benar setia serta dapat memperkukuhkan kembali kedudukannya bertakhta di Seri Perdana.Untuk tujuan tersebut dua orang Pahlawan baru kepada Abdullah yang memegang jawatan Menteri Penuh mula menonjolkan Tan Sri Muhyidin Yasin dan Datuk Syed Hamid sebagai calon pengantinya. Kedua-dua pahlawan itu khabarnya merupakan bekas ayam tambatan Datuk Najib....... begitulah adat politik, tiada musuh berkekalan serta kesetiaan hanya dinilai menerusi pemberian pangkat harta kekayaan.Ribut di rumah Umno semakin bergelodak dan berkocak sejak petang Khamis lalu seusai mesyuarat Majlis Tertinggi Umno apabila ayam tambatan Datuk Najib dikatakan sudah mula berpaling tadah setelah memperolehi jawatan Menteri Penuh menjadikan masa depan politik anak mantan Perdana Menteri Kedua itu juga kian terasak serta terasing.

Apakah Najib bakal tersingkir kali ini saat Anwar Ibrahim kian rancak berpencak mengatur bidak-bidak di papan catur politiknya? Mampukah Abdullah mempertahankan dirinya tanpa benteng dari orang nombor yang berkali-kali melaungkan kesetiaan tidak berbelah baginya?Sementara itu gossip panas yang kian menjalar dari mulut ke mulut di pasaran politik pula adalah cerita sensasi melibatkan anak seorang Menteri dikatakan terjebak dalam skandal keruntuhan moral. Alahai, terlalu banyak yang terdedah dan tersingkap rupanya kesan dari gelombang Tsunami kebangkitan Suara Rakyat Kuasa Keramat.Menjelang kehadiran tarikh 28 April 2008, terlalu banyak jugalah yang akan tersingkap, terselak dan terdedah. Apa pula akan terjadi selepas tarikh tersebut? Siapa sebenarnya pencatur dan dalang kepada gegaran sebegini hebat.... fikir-fikirkanlah.

No comments: