Saturday, March 01, 2008

Jom jumpa Tok Guru di Putrajaya, Hotel Nikko esok

Oleh Harakahdaily
Sabtu, 01 Mac 2008
KUALA LUMPUR: Warga Putrajaya dijemput hadir untuk mendengar amanat daripada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2 Mac ini jam 6.15 petang di Dewan Presint 9, manakala jam 8.00 malam beliau akan bersama dengan anak-anak Kelantan di perantauan di Hotel Nikko, Jalan Ampang dekat sini.
Menurut Calon Putrajaya, Mohamad Nor Mohamad ketika dihubungi, meminta warga Putrajaya untuk sama-sama mengikuti ceramah perdana julung kalinya dalam tempoh berkempen.
Katanya, di Presint 9 jumlah penduduknya separuh daripada jumlah pengundi iaitu kira-kira 3,000 orang.
"Lokasi ini menjadi tumpuan kita, sebab itulah kita pilih Presint 9, bukan dari segi jumlah pengundi bahkan majoriti di situ adalah orang Islam," katanya.
Sehubungan itu, beliau turut memberitahu sehingga kini tidak ada apa-apa halangan dan sekatan daripada mana-mana pihak bagi mengganggu proses berkempen di Putrajaya.
"Setakat ini kami tidak ada halangan, kempen berjalan lancar. Kami bertemu dengan kakitangan kerajaan di lobi bangunan, dan kantin ketika waktu rehat," katanya.
Bagaimanapun, katanya mungkin di tempat lain calon-calon PAS mengedarkan manifesto tetapi beliau mengedarkan risalah tentang kesedaran pengundi dan hak mereka termasuklah kerahsiaan undi yang dijamin oleh SPR.
"Kakitangan kerajaan ini mereka agak takut sedikit, sebab itu kita bagi risalah tentang hak mereka iaitu undi adalah rahsia," katanya.
Apa yang mengecewakan, Mohamad berkata untuk program ceramah penggunaan dewan dan padang tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, katanya perkara ini dapat diselesaikan apabila beliau sendiri berjumpa dengan Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Shamsudin Osman yang akhirnya memberi kebenaran mengadakan ceramah perdana.
Beliau dan jentera pilihan rayanya mula bergerak seawal subuh di surau dan berakhir dengan solat magharib seterusnya ceramah.
Beliau juga optimis dengan penerimaan warga Putrajaya memandangkan dalam aktiviti berjumpa masyarakat beliau diberi sambutan yang baik.
P.125 Parlimen Putrajaya menyaksikan satu lawan satu antara Mohamad Nor Mohamad (PAS) dengan Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN), BN yang menang majoriti pada 2004 dengan KeADILan sebanyak 3,546 undi.

1 comment:

Anonymous said...

salam Pic at Putra Jaya n Hotel Nikko are here http://www.flickr.com/photos/avercine/