Sunday, June 21, 2009

Kenyataan Setiausaha Agung boleh dipercayai?

Setiausaha Agung Pas yang baru Hj Mustapha Ali telah mengeluarkan kenyataan mengatakan "Pas tidak bersedia untuk berbincang dengan Umno buat masa in",sekaligus bercanggah dengan kenyataan Timbalan presiden sebelum ini yang nampak garang untuk berbincang.Kenapa kenyataan kedua dua pemimpin yang dilihat dalam satu pasukan (Kerajaan Perpaduan)berlainan pada kali ini..?

Adakah kenyataan ini boleh dipegang sebagai satu kenyataan yang bermaruah atau hanya sekadar mainan dan pemanis bibir sebagaimana sebelum ini kenyataaan tentang itu pernah juga keluar sebelum muktamar tetapi berbeza pula selepas muktamar.Malah ianya menjadi semakin hangat hingga menjadikan TGNA marah dan mengeluarkan 'suara' yang agak keras dan hampir tidak dipercayai oleh ramai ahli Pas.

Saya melihat tindakan Hj Mustapha Ali itu sebagai ingin menjadi suara utama selepas Presiden,yang mana sebelum ini beliau bertindak mengarahkan supaya percakapan tentang isu Kerajaan Perpaduan dihentikan yang sekaligus ditempelak pula oleh TGNA.Arahan itu adalah sebagai langkah untuk meredakan keadaan 'tetapi dibelakang tabir mereka terus berkerja hingga ke satu tempoh yang hanya mereka yang terlibat sahaja yang mengetahui.

Friday, June 19, 2009

Ulasan kenyataan Ketua Pemuda PAS

Isu kerajaan perpaduan telah sampai ke tahap yang makin kronik,idea dilontarkan tetapi tidak ada usaha untuk memberi penerangan dengan secara terperinci.Mereka yang menyokong idea itu seolah bersikap 'lontar dan lari' dari menghadapi hakikat bahawa Massa 'teruja' untuk mendengar perincian tentang idea tersebut.

Oleh kerana sikap yang 'longlai' itu membuatkan ramai yang membuat huraian tersendiri dan mula beranggapan sesuatu yang 'kurang enak' telah berlaku.Lalu mereka menyifatkan idea kerajaan perpaduan itu adalah satu usaha sulit yang hanya akan memihak kepada UMNO sekaligus mendapat reaksi yang tidak baik dari ramai pihak.

Ramai yang marah termasuk Tuan Guru Nik Aziz,lalu mengeluarkan keyataan yang mungkin menambahkan luka dan jurang antara dua pihak yang membawa fahaman yang berbeza dalam hal ini.

Terbaru Ketua Pemuda PAS tampil pula dengan temuramah bersama Malaysiakini yang menyifatkan 'idea kerajaan perpadua itu adalah umpama usaha Musa (AS) berdakwah kepada Firaun'.Satu hujah yang telah dilontarkan untuk menyokong usaha 'Kerajaan Perpaduan'.

Saya melihat idea dakwah Musa kepada Firaun itu memang benar,dan harus dirujuk kembali dalam melaksanakan sunnah dakwah dalam kehidupan kita hari ini.Tetapi persoalan timbul juga dari pemikiran saya,kenapa idea itu baru timbul hari ini dan tidak 20 atau 30 tahun yang lalu atau paling kurang pun sebelum terbentuknya gabungan dalam pakatan rakyat..?

Adakah Ulama dalam PAS baru tersedar tentang sunnah dakwah tersebut sedangkan sebelum ini mereka tidak mengambil jalan itu sebagai usaha untuk berhadapan dengan kerajaan UMNO BN.

Seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam tindakan kita apabila sudah bertahalluf bersama Pakatan Rakyat kemudian bertindak seolah ingin menyalahi perjanjian yang telah diputuskan.Tentunya idea Kerajaan Perpaduan akan mendatangkan satu perasaan yang kurang enak di kalangan rakan Pakatan Rakyat yang jelas tidak bersetuju dengan idea tersebut.

Sunnah dakwah Musa adalah benar tetapi bukanlah HIKMAH yang harus kita pakai pada waktu yang genting begini.

Wednesday, June 10, 2009

Bisul bisul dalam serban PAS

Azizi Hj. Abdullah

Orang Pas kata kepada Umno, busuk ikan bermula di kepala, bukan ekur. Ertinya kebobrokan Umno, kotor dan kelamkabutnya Umno adalah kerana pemimpin.Pengikut Pas bertepuk tangan. Semua kata betul. Tetapi bagaimana pula kalau Umno kata, bisul-bisul Pas berada di kepala yang memakai ketayap atau serban?Memang pun bisul tidak seperti ikan busuk yang bermula di kepala. Bisul boleh muncul dan bernanah di mana-mana, hata di kepala yang memakai serban.

Saya di antara pengikut dan ahli Pas sejak berusia 14 tahun, yang berkempen waktu itu sampai kena baling telur ayam kemuruk. Pemimpin yang saya ikuti dulu semua berserban, berketayap putih. Semua bermatlamat satu; berjihad menegak agama Allah dengan motto; Negara yang baik yang mendapat keampunan Allah.

Kini setelah 56 tahun hidupnya Pas, serangan demi serangan terhadap Umno diteruskan. Dikatakan Umno berkepentingan duniawi, rasuah, tidak adil, kepentingan pribadi, mengaut kekayaan, bertokak sama sendiri, melarikan wang, melarikan perempuan, banglo besar, kereta besar, munafik malah sampai kepada taghut, maha firaun dan lain-lain.

Apabila kemasukan cerdik pandai, peguam, profesor dan lain-lain ahli profesional ke dalam Pas, maka sedikit sebanyak nampak semacam sedikit tergugat golongan ulama. Lalu mereka pun bangkit dengan memberi alasan betapa ulama sebenarnya penting dalam perjuangan Pas. “ Jangan tinggalkan kami” , kata mereka.

Memang satu ketika dulu golongan profesional tidak ada tempat dalam Pas. Tetapi kini ulama pula nampak macam tergugat. Seperti dibimbangi akan ujud satu fenomena baru di mana Pas akan dikuasai oleh golongan profesional.Secara peribadi, saya melihat golongan ulama di dalam Pas ialah golongan yang hanya bijak dalam soal-soal kupasan perkara ukhrawi, haram halal dan sunah makruh. Mereka tidak profesional. Beremosi. Pembakar semangat tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah. Ia tidak bersifat profesional keagamaan. Jadual atau atur cara antara golongan profesional dengan golongan ulama, golongan ulamalah yang paling tercorot. Jadual majlis jam 9, majlis bermula jam 10. Perkataan Insyaallah hanya sandaran menutup kelemahan.

Maka apabila dilihat golongan profesional ini semakin ramai, kemungkinan satu ketika lubang-lubang jawatan di dalam parti akan dimasuki oleh golongan profesional, lalu timbul tanda tanya, ke mana hendak pergi golongan ulama?Di Pinggir Neraka?Sebenarnya, sebelum ini pertanyaan patut dikemukakan: Mengapa harus ada golongan ulama dan profesional?

Dalam satu jamaah Islamiah, bagi saya tidak penting adanya ulama dan profesional. Jamaah Islamiah yang mengambil politik sebagai landasannya dan sebagai dasar perjuangan ke arah jihad, apa pentingnya membahagi kepada dua kategori? Apakah ulama itu lebih baik dari profesional? Apakah gologan profesional, ilmu mereka tidak berguna? Apakah profesional tidak ada aqidah?Istilah ‘walak, setia kepada pemimpin, wali,ulama’ menjadi satu kegerunan, seolah-olah siapa yang tidak membuktikan arah ini, ia sedang berada di pinggir neraka.

Kemunculan golongan profesional menjadikan sebahagian besar ulama merasa fobia. Sehingga ada kawasan dan negeri sangat mencurigai hendak melantik golongan profesional menjadi pemimpin. Kemudian apabila tiba muktamar tahunan, hal ini pun ditimbulkan. Akibatnya bergemalah puak profesional dan ulama. Ada yang meragui dan berkata, profesional saja tidak memadai dalam perjuangan Pas dan ulama juga tidak memiliki kecekapan dalam petadbirannya.

Wadah Pas ialah perjuangan dan dakwah, satu wadah yang meletak dasar tertinggi Al-Qur`an dan Hadis, Ijmak dan sebagainya. Mereka yang memasuki Pas ialah mereka yang yakin dengan dasar ini. Maka apabila seorang jurutera yang belajar bertahun-tahun, apakah ia seorang komunis atau athis ketika ia memohon menjadi ahli Pas dan perlukah kita bertanya, pengajian agama kamu setinggi mana? Tidak pernah terjadi, sebaliklnya kita berbangga.

Begitu juga kita berbangga sekarang ini bilamana ramai mereka yang bukan Islam, terutama golongan Cina yang sudah mulai mendekati Pas. Malangnya Pas yang dianggap kepimpinan ulama tidak pernah mengambil kata putus bagaimana kaedah untuk menerima mereka. Yang dilakukan ialah satu rancangan yang tidak disukai ramai, iaitu ‘Pemerintahan perpaduan.’Kita hairan tentang gagasan yang tidak diterima ramai ini. Ada jalan atau uslub membolehkan Pas menjadi kuat dengan sokongan bukan Islam, tiba-tiba mahu melakukan sesuatu yang dibenci oleh ramai orang.

Pas tidak pernah belajar sejarah. Kaedah apa yang dipakai, jika dulu, kini dan selamanya Umno dianggap musuh, tiba-tiba presidennya pula menganggap, di sanalah jalan perpaduan.Apa Kayu Ukur Ulama?Maka bergema dan berkumandanglah di media bagaimana pentingnya perpaduan tetapi malang Pas melalui pucuk pemimpinnya tidak sedar, setiap rancangan yang disiar, Pas menjadi batu loncatan, Pas diperbodoh dan Pas dimomok-momok.Atas nama ulama, kita diajar sangka baik. Maka apapun tohmahan dan senda, kita menerimanya.Apa kayu ukur ulama? Ini pun satu hal.

Di dalam Pas, ukuran ulama berlainan dari ukuran biasa. Masakan sekadar lulus Azhar atau belajar di Jordan kita sudah boleh namakan ulama? Sekarang ini begitulah ukuran ulama di dalam Pas, selain dari syarat tersembunyi mesti berserban atau berjubah dan mesti ada sedikit janggot. Diperbesarkan soal janggut lalu ditekan sebagau Sunnah Nabi.Maka sebab itu Pemuda dengan senang hati menerima Hasan Tantawi, kerana ia 100% berwatak ulama.

Tetapi apakah ukuran ini, termasuk keluar dari universiti agama atau lulus syariah maka ia harus kita lebalkan sebagai ulama? Apapun yang terkesan sekarang, kita tersangat cepat melebalkan ulama terhadap seseorang yang pulang dari Mesir atau Timur Tengah dari seorang PhD agama di UKM atau di UIA.Inilah satu tanggapan yang silap.

Sehingga kini orang Pas tidak mengakui Tan Sri Hamid Othman, Nakhaie, Noh Gadot dan terakhir Hj Hairussani yang baru menerima anugerah Tan Sri sebagai ulama. Malah mufti-mufti sendiri bagi Pas, hanya Dato’ Ishak Baharum sahaja yang diakui ulama.Inilah kesilapan kita.Ulama Bukan Penghurai Masalah?Maka atas kepercayaan ulama mempunyai bidang tersendiri, apabila ulama melakukan sesuatu, atau melontarkan idea sesuatu yang bersifat sekular, bersifat keduniaan maka orang tidak berapa ambil peduli hendak mempertikaikan, menolak atau menyanggah.

Sebaliknya jika golongan profesional yang ingin melakukan sesuatu yang bersifat agama ia dipertikaikan.Ulama mestilah berhati-hati dan tidak boleh memandai-mandai dalam semua hal atas status ulamanya. Di awal tadi telah dikatakan, kebanyakan ulama ialah mereka yang hanya mampu dan bijak mentafsir dasar, bukan menjalankan dasar. Mereka mampu menghurai syarah dan tafsir Qur`an juzuk demi juzuk, tetapi mereka belum tentu mampu melaksanakan mengikut tafsir itu. Mereka mampu melihat isu dan masalah tetapi mereka bukan penghurai masalah.

Maka kerana itu, ulama yang sudah berada di peringkat atas, ia mestilah bijak mengawasi dasar dan ia perlu memelihara dasar, bukan mengubah dasar atau memandai-mandai menyimpang dari dasar.Ingatlah, pemimpin ialah orang yang memelihara dasar, melaksanakan dasar tetapi bukan mengubah dasar, memandai-mandaikan dasar.

Kerajaan perpaduanPresiden Pas, dalam ingatan saya sudah membuat percubaan pertama bagaimana hendak merealisasi ‘kerajaan perpaduan’ tetapi ia disanggah oleh ramai ahli dan pemimpin. Maka selepas muktamar beliau mengulangi lagi dan mencari celah dan ruang untuk menerangkannya.

Tetapi Presiden ini lupa dan tidak nampak bagaimana pengikut-pengikutnya melompat dan gelisah, bagaimana mereka menangis dan meraung sedih, menyumpah dan maki hamun kerana:
1. Itu bukanlah dasar Pas yang ditubuhkan sekian lama.
2. Apapun istilah, seakan nampak satu hambatan pelangi beberapa pemimpin Pas untuk duduk sama taraf dengan pemimpin Umno/BN.
3. Seakan nampak semakin hilang teras perjuangan Pas. Dinyatakan oleh mereka, perjuangan Pas bukan untuk menang bersama Umno/BN tetapi ialah perjuangan menegakkan dasar Pas itu sendiri dan mereka percaya dasar Pas akan diterima juga pada satu hari nanti.

“Apa untungnya mewujudkan ‘Pemerintahan Perpaduan?’ jika dengan Pakatan Rakyat sendiri kita sudah ada acuan perpaduan?” Begitu yang lain bertanya pula.Posted by Tukya

Sunday, June 07, 2009

Timbalan Presiden PAS pertikai kenyataan TGNA

He may not be aware of the irony but when Nasharudin Mat Isa, deputy president of PAS, said Nik Aziz Nik’s views do not represent the party, it is akin to the Islamist party rejecting its soul as the Tok Guru is PAS spiritual leader.

Nasharudin was, of course, referring to Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat’s speech at the muktamar last night, when he rubbished talk of a unity government.

“That is the opinion of Tok Guru, but in the organisation we take the party’s stance. Now there isn’t actually any concrete decision made by the party with regards Umno. The issue will be decided by the party,” he said

( Malaysian Insider 7/6/09 bertajuk "No.2 says Tok Guru is not PAS")

Ust Nasarudin nampaknya mula berani bersuara selepas menang jawatan Timbalan Presiden,dan lebih tragis lagi beliau berani membelakangkan kenyataan yang keluar dari Mursyidul Am PAS sendiri.

Andai mengikut kenyataan dari Timbalan Mursyidul Am Dr Haron Din,Ust Nasa boleh dikategorikan sebagai mereka yang membawa budaya 'non Muslim' ke dalam PAS kerana tidak wala' dan taat kepada pemimpin yang mana TGNA adalah lebih tinggi kedudukannya berbanding Ust Nasa dalam PAS.

Apa pula kata Dr Haron Din tentang Ust Nasa..?Saya kata:PAS selepas muktamar masih belum aman...

Kerajaan perpaduan:masa yang salah

Niat baik Presiden PAS TGHH untuk berdakwah dengan UMNO itu memang betul tetapi masa dan ruang yang digunakan adalah salah.TGHH yang kita kenal dari dulu amat keras dengan UMNO tiba tiba menjadi muluk pula seolah seorang gadis yang telah 'diguna gunakan' oleh seorang lelaki yang ingin memikat.

Pendirian Presiden dilihat seolah olah 'goyang' kerana sebelum ini beliau melalui arus yang berbeza kemudian berpaling untuk melalui arus yang lain pula.Barangkali beliau ingin menyertai Ustaz Asya'ari yang memang dari dulu berdakwah dengan lembut dan kasih sayang dan tidak bersikap menghentam.

Saya boleh sifatkan idea Kerajaan Perpaduan itu sebagai "kalimatul hak arada bihil bathil",meminjam kata kata Saidina Ali yang berhadapan dengan M'uawiyah yang ingin mengangkat Alquran untuk berdamai.

Idea kerajaan perpaduan sepatutnya dilaungkan 20 tahun yang lalu dan buka sekarang dalam keadaan PAS sudah hampir untuk menang menentang UMNO.Semoga ALLAH memberi petunjuk....

Husam kalah tetapi 'Erdogan' tetap menang

Semenjak pertembungan bermula saya menjadi simpati,seterusnya simpati saya bertukar pula kepada suka.Ya itulah namanya Erdogan..

Keputusan telahpun diumumkan,sekalipun kedapatan sedikit perkara yang mengundang minda untuk bertanya dan berfikir,Ustaz Nasarudin walaubagaimanapun tetap telah disahkan menang jawatan Timbalan presiden.

Sekalipun Husam kalah,secara moralnya kumpulan Erdogan juga mengikut peratus kemenangan dan mereka yang dilantik ke jawatan Ajk PAS pusat.

Namun apa yang menyedihkan ialah Presiden dan Timbalannya seolah gagal membaca mesej perwakilan atau sengaja 'buat kering' dengan terus mengeluarkan kenyataan tentang idea kerajaan perpaduan.

Dulu saya menghormati mereka berdua ini, tetapi hari ini saya melihat seolah ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka.Maaf...saya layak mengkritik mereka kerana merasakan kedudukan mereka yang mendapat pendidikan dari Timur Tengah itu adalah sama.Meminjam kata kata Tuan Ibrahim Tuan Man:'Ustaz sama sama ustaz mengkritik tak mengapa..'

Wednesday, June 03, 2009

Nik Aziz sokong Erdogan dalam PAS

Tuan Guru Nik Aziz tidak lagi menyembuyikan sokongannya kepada kumpulan Erdogan dalam Pas menjelang muktamar yang bakal bermula beberapa hari lagi.

Tuesday, June 02, 2009

Persediaan PAS menggantikan UMNO

Dr Dzulkefly Ahmad (Hrkh)

Sesungguhnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sedang berada di tahap paling baik dalam 58 tahun sejarah jatuh-bangun perjuangan politiknya.

Natijah dari pelbagai dinamika politik nasional dan hasil kesediaan kepimpinan memposisi kepentingan perjuangan, PAS kini berada sekali lagi di kedudukan penting yang sekaligus menuntut parti Islam ini terus membuat beberapa pilihan strategik.

Paling kritikal, atas pilihan strategik ini pula akan ditentukan keupayaan dan kelangsungan PAS, samada untuk terus mara menempah kejayaan yang lebih besar atau berpatah balik seumpama yang disaksikan pasca-kejayaan PRU ke-10, yakni keputusan PRU ke-11 April 2004 yang mengembalikan PAS pada garis sokongan tegarnya, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Maka di ambang Muktamar ke-55 ini, punya cita-cita besar bagi meletakkan seluruh kepimpinan parti, aktivis, pendukung dan pencintanya, supaya sedar dan insaf, bahawa sekali lagi, kita berada di persimpangan kritikal ini.

Umum bahkan dunia, sedang memerhatikan penampilan serta pengolahan 'Risalah Perjuangan Parti Politik Islam' ini, dalam persaingan mendominasi kuasa abad 21 Masihi-15 Hijrah.
Khususnya di persada pertarungan politik sebuah negara-bangsa yang punya demografi cukup plural atau majmuk, di segi pertentangan pelbagai tuntutan agama, etnik dan budaya yang bersifat 60:40 Islam:Bukan-Islamnya. Cabaran inilah yang cuba digarap dalam penulisan ini, bagi menyambung penulisan lalu "Meniti Tuntutan Perjuangan Pasca Muktamar ke-55".
Penulis ingin pertama-tamanya merakamkan perasaan terkilannya, bahawa polemik kepimpinan Ulama-Profesional telah menelan waktu, tenaga dan penumpuan yang agak keterlaluan.

Yang lebih penting dari kesemua itu sewajarnya ialah menekuni serta mentakrifkan tuntutan perjuangan yang bakal dipikul kepimpinan yang akan dipilih.
Dengan kejelasan itu, akan terserlah gandingan pasukan kepimpinan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kepemimpinan Presiden memacu dan melonjakkan parti ke garis prestasi ke keluk yang seterusnya.

Maka membicarakan pilihan strategik di ketika ini adalah satu yang 'dhoruri' dan paling tidaknya sangat dihajatkan parti dalam rangka tuntutan kebijaksanaan perjuangan.
Menggantikan kepimpinan Umno bagi kelompok Islam-Melayu
Seperti yang ditegaskan kepimpinan tertinggi parti umpama Pengarah JK Pilihanraya PAS Pusat, waktunya telah tiba untuk mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu untuk kelompok demografi pengundi Melayu-Islam di Negara ini.
Meski pun telah acap disebut termasuk salah seorang calon Timbalan Presiden, belum ada satu kejelasan strategi yang pernah dilakarkan kearah itu.

Sementara PAS berada di tahap paling kukuh dan kuat, Umno sebaliknya sedang berada di tahap paling lemah dalam laluan usia politiknya. Sebelum kita dikatakan berkhayal, PAS (dan Pakatan) perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan 72 kerusi parlimen yang memiliki 2/3 majoriti Melayu-Islam dan 42 kerusi di mana yang majoriti mudahnya adalah pengundi Islam-Melayu. Selebih 51 kerusi parlimen yang lain adalah kerusi majoriti Bukan-Melayu, di mana 18 adalah kerusi majoriti 2/3 dan 33 adalah kerusi majoriti mudah Bukan-Melayu.

Jumlah kerusi pertarungan di Semenanjung ialah 165. Nah, perhatikan baik-baik apa maksud untuk menumbangkan Umno sebagai parti untuk orang Melayu-Islam.
Penulis, seorang optimis tegar seperti didakwanya, yakin bahawa objektif tersebut mampu dilakukan.

Telahan para 'pundit' politik meramalkan Umno tidak akan dapat memugarkan atau 'reengineer' kembali perjuangan sehingga parti Melayu terbesar itu mengalami kekalahan kuasa di peringkat Pusat dan belajar semula selepas menjadi pembangkang untuk satu jangka waktu.
Menarik tesis tersebut. Tidak mustahil kerana kemenangan disilih gantikan Allah SWT. (al-ayat) .

Pun begitu, di segi perhitungan politiknya PAS perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan pilihanraya umum akan datang. Untuk ingatan, PAS bertanding dalam 64 kerusi parlimen di Semenanjung, sementara memenangi 27 kerusi.
Umno sebagai perbandingan, menguasai 78 kerusi di Semenanjung. Sebutan mengambil alih kedudukan Umno sebagai parti pilihan orang Islam-Melayu wajar menyedari tuntutan realitinya.

PAS dalam ukuran politik hari ini sudah melepasi kekangan prestasi tradisinya. Dulu, PAS hanya mampu menang dalam pertandingan kerusi-kerusi yang berada dalam 'Malay Belt' atau Kawasan Melayu di Utara dan Pantai Timur.

PAS telah memecahkan tembok ini dalam pola Politik Baru dan bersedia memenangi kerusi-kerusi campuran 60:40 bahkan lebih �mixed� dari itu seperti kerusi Kota Raja. Tegasnya PAS telah menemui formula dan resepi kejayaannya.
Persoalan buat kepimpinan kini ialah: Apakah yang perlu dilakukan kepimpinan parti untuk seterusnya merealisasikan cita-cita mengambil alih kedudukan Umno? Apakah yang bakal menghalang pencapaian objektif ini?

Bersama menggandingkan kekuatan menjatuhkan Umno-BN
Muktamar ke-55 ini juga membawa erti besar untuk parti Islam yang terbesar di negara ini, sekali lagi mempertegaskan komitmennya untuk menyaksikan tumbang kuasa yang telah memerintah negara selama lebih 5 desawarsa.
Lanjutnya kuasa ini telah menafikan negara dan rakyat mengecapi kesejahteraan hidup sebenar sesuai dengan kedudukan negara yang memilikki sumber per kapita antara tertinggi di dunia kerana pelbagai kebobrokan gelagat segelintir pemerintah yang sarat rasuah, kerakusan dan mementing diri.

Amalan demokrasi rosak sementara institusi kehakiman terus reput dan badan legislatif dicekik kuasa Eksekutif.
Media Baru memerdekakan rakyat dan pengundi. Tekanan ke arah pertanggungjawaban dan ketelusan menuntut kerajaan mendedahkan segala kecurangan yang dilakukan pihak pemerintah. Terkini skandal besar PKFZ yang bakal menelan RM12.8 bilion, sebagai 'mercu tanda' pengurusan sarat rasuah Umno-BN.

Umno-BN sudah sampai ke penghujung usianya. Mereka wajib di kalahkan dalam PRU ke-13 bagi mengangkat martabat, maruah dan daya saing negara.
Tidak ada kemungkaran yang lebih jelek dan membinasakan watak negara-bangsa ini amnya dan ummat Islam khususnya dari kehidupan yang menjauhkan manusia dari fitrahnya untuk memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

PAS bergandingan dengan komponen parti Pakatan Rakyat, KeADILan dan DAP, berupaya melakukan sesuatu yang ajaib dan bijak dalam Politik Permuafakatan atau Tahaluf Siyasi (Coalition Politics).

Sindrom takut kalah Umno, takut menang PAS

Di persimpangan 'Politik Transisi' yang serba tidak menentu ini, Umno jelas telah dihinggapi 'Sindrom Takut Kalah' atau 'Atichyphobia- Fear of Failures', sehingga sanggup memberi laluan mudah di Penanti. Umno akan terus dihantui ketakutan dahsyat ini sehinggalah dapat menjalani rawatannya.

Namun PAS juga ditanggapi menghadapi satu fenomena yang sama tetapi sedikit berlainan. Apa yang dialami PAS kini ialah 'Sindrom Takut Kejayaan - Fear of Success'.
PAS bukan takut dikalahkan tetapi lebih takut kejayaan akan mengakibatkan parti Islam kehilangan aAl-Asolahnya' atau 'Ketulenan keIslamannya' lantas curiga serta khawatir untuk menempuh 'jalan-jalan' yang ditanggapi bukan lebuhrayanya bahkan didakwa sesetengah pihak berpotensi membawa kelunturan, pelarutan dan penyimpangannya dari cita-cita perjuangannya.

Penulis memerhatikan bahawa di sebaliknya polemik Ulama-Profesional, tersirat secara lebih mendalam tekanan sindrom ini, khususnya kepada golongan tertentu yang tidak dapat mentasawurkan proses dan gelagat perubahan yang wajar di pacu PAS dalam persaingan di gelanggang politik pluralis yang punya matlamat yang saling bertentangan dan bersimpang-siur.
PAS sangat berhajatkan dirawat dengan tekunan ilmu yang lebih mendalam dan keberanian ijtihad para ulama harakinya untuk keluar dari bahana sindrom ini.
Kesimpulan

Di persimpangan kritikal ini juga, PAS perlu tahu bahawa Umno bukan kawan tapi lawannya. PAS wajar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wasilah paling bijak bertepatan dengan tuntutan waqi� dan fiqh siyasi serta berpadanan dengan maslahah perjuangannya.

PAS sangat perlu menekuni kebijaksanaan untuk menampilkan terus 'tag-line' - 'PAS Untuk Semua' dan 'Islam Untuk Semua' melalui program-program perjuangan yang lebih 'Inklusif' menggamit serta melebarkan tapak sokongan, sementara memperkukuhkan kemurnian agenda Islam bagi sokongan tegar Melayu-Islam.

Sebagai contoh kecil, sedikit waktu lalu beberapa tokoh muda ulama PAS cukup berani membicarakan tentang zakat yang harus dipanjangkan kepada golongan 'asnaf muallaf' termasuk yang bukan-Islam seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Tegasnya, PAS wajar keluar dari kotak pemikiran terlalu 'fiqhiy' (legalistik) kepada paradigma pemikiran 'Usuliy dan Maqasidiy' (Prinsip dan Maksud) lantas berani memposisi Islam dengan lebih mantap lagi dengan hujjah tekunan ilmu Islam yang lebih 'daqiq' (mendalam) dan intelek yang lebih peka dengan realiti semasa.

Terlalu banyak yang perlu digarap termasuk hiburan, mua'malat kewangan-ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan dan pertentangan perundangan itu sendiri.
Inilah antara pengisian agenda "Penampilan Agenda Politik Islam PAS" dalam persaingan era baru. PAS mengongsi Keadilan serta Kesejahteraan sistem Islam kepada semua dan Aqidah Islam kepada yang meyakini.

PAS tidak wajar mengulangi kesilapan pendekatan terlalu 'eksklusif' dan 'centrik' yang meminggir rakyat dan pengundi dan dalam kedudukan yang tidak difahami kecuali penyokong tegarnya di kawasan-kawasan tradisinya.
Kesemua ini adalah agenda kepimpinan yang wajar diperbahaskan dan dicermati dengan lebih mendetail dalam Muktamar yang mempersiapkan parti untuk menempah kejayaan yang sama-sama di ingini dan diperjuangkan.

Memang benar kejayaan bukan segala-galanya, namun segala-galanya menantikan kejayaan bagi melakasanakam cita-cita perjuangan!

(Penulis adalah AJK PAS Pusat).